PETALING JAYA: Selepas mengerah kudrat sepenuhnya untuk menghadiahkan emas Sukan Komanwel Glasgow bulan lalu, Muhammad Erry Hidayat bertandang ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan misi berbeza apabila lebih mengutamakan pencapaian peribadi berbanding memburu pingat.
Atlet angkat berat negara itu mengakui sukar untuk mengulangi tahap prestasi 100 peratus di Jepun selepas tubuhnya sudah diperah ke tahap maksimum dalam usaha menjuarai kategori 79 kilogram (kg) di Glasgow.
Bagaimanapun, Erry yang juga anak kepada bekas jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon tidak mahu menjadikan faktor itu sebagai alasan untuk sekadar melengkapkan penyertaan, sebaliknya tetap bertekad memberikan angkatan terbaiknya.
“Untuk Sukan Asia kali ini, hanya saya dengan Syahmi akan ke sana dan kami tidak meletakkan sebarang sasaran pingat. Sekiranya dapat membawa pulang pingat, mungkin itu adalah bonus untuk kami berdua.
“Kalau dapat tampilkan aksi sama (seperti Sukan Komanwel) ataupun 90 peratus, itu pun sudah cukup bagus kerana kami sudah mengerah badan ke tahap maksimum sejak beberapa tahun lepas lagi,” katanya.
Pada temasya Aichi-Nagoya yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober itu, Erry akan beralih ke kategori 85kg, manakala Mohamad Syahmi Nor Ghazali terus mempertaruhkan kudratnya dalam kategori 94kg.
Ketiadaan sasaran pingat secara khusus bagaimanapun memberi ruang buat Erry meletakkan ukuran kejayaan berdasarkan kemampuan sendiri, dengan catatan terbaik peribadi (PB) dan rekod menjadi sasaran yang mahu dicapainya.
“Apabila tidak ada tekanan, orang akan fokus pada angkatan sahaja tetapi saya belum cuba berapa angkatan itu. Kalau dapat gangsa pun sudah baik, namun sasaran peribadi saya nak buat PB atau pecahkan rekod,” ujarnya. – UTUSAN










