Hakim Danish harap tuah di Aragon, cuaca jadi penentu

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tekad kutip mata Grand Prix (GP) Motosikal Aragon di Sepanyol, hujung minggu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan di Silverstone, tiga minggu lalu, mendorong pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli melakukan analisis bagi mencari titik kelemahannya agar kesilapan sama tidak berulang pada Grand Prix (GP) Motosikal Aragon di Sepanyol, hujung minggu ini.

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berkata, selepas tamat perlumbaan GP Britain, dia membuat kajian semula terhadap kelemahannya dan melakukan beberapa penambahbaikan dalam latihan.

“Saya juga mengkaji perlumbaan Red Bull Rookies di Aragon sebagai persediaan untuk minggu ini. Saya pernah menang di sana dan pengalaman itu pastinya memberikan keyakinan tambahan kepada saya.

“Saya juga sudah berlatih dengan lebih keras dan bersedia untuk memberikan yang terbaik. Saya tahu kedudukan saya sekarang dan masih banyak mata yang boleh dikutip,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam.

Aragon meninggalkan memori manis buat pelumba kelahiran Terengganu itu apabila pernah menjuarai Perlumbaan 2 pada pusingan ketiga Piala Red Bull MotoGP Rookies, tahun lalu.

Menurut Hakim Danish, dia mahu gunakan pengalaman tersebut, termasuk persediaan rapi yang dilakukannya untuk kembali lebih kuat di Aragon.

“Saya akan memberikan yang terbaik dan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan keputusan positif,” ujarnya yang kini menghuni tangga kelapan selepas mengumpul 86 mata pada Kejuaraan Dunia Moto3.

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin pula berkata, perlumbaan di Aragon sememangnya antara saingan yang dinantikan kerana percaya litar itu sesuai dengan gaya tunggangan Hakim Danish.

“Hakim Danish mempunyai rekod yang baik di Aragon. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada Hakim Danish serta keadaan cuaca sepanjang minggu perlumbaan.

“Seperti yang kita tahu, Aragon merupakan antara litar yang agak sukar dijangka, dengan keadaan seperti angin kuat dan hujan lebat yang boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya.

Jelas Zulfahmi, beliau amat berharap cuaca minggu ini kekal stabil supaya Hakim Danish dapat menjalani sesi latihan dengan baik dan melayakkan diri ke kelayakan 2.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN