HULU LANGAT: Pusingan Lima Infinity IAME Siri Asia 2026 di Litar Karting Antarabangsa LYL membuktikan Malaysia mampu menjadi pentas persaingan karting bertaraf dunia apabila 121 pelumba dari 15 negara turun berentap, termasuk juara dunia IAME kategori senior, Aaron Garcia dari Sepanyol.
Pengarah Eksekutif Infinity IAME Siri Asia, Daniel Ling berkata, saingan kali ini menjadi perlumbaan terbesar pernah dianjurkan pihaknya, selain penganjuran kali kedua di Malaysia tahun ini yang memperlihatkan peningkatan dari segi jumlah penyertaan serta tahap persaingan.
“Secara teknikalnya, ini adalah perlumbaan terbesar buat kami setakat ini dan saya percaya ia juga adalah kejuaraan karting terbesar yang pernah dianjurkan di Malaysia dengan 121 pelumba dari 15 negara.
“Apabila kita mempunyai juara dunia seperti Aaron di petak mula, ia memberi peluang kepada pelumba lain untuk mengukur tahap masing-masing,” katanya pada Pusingan Lima Infinity IAME Siri Asia di Litar Karting Antarabangsa LYL di sini, semalam.
Menurut Daniel, penyertaan pelumba dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Jepun, Sepanyol dan Itali menjadikan saingan lebih kompetitif, sekali gus membuka ruang kepada pelumba tempatan menguji kemampuan menentang pencabar antarabangsa.
Dalam kategori senior, pelumba Thailand, Toby Gale muncul juara diikuti Dilan Tan dari Singapura di tempat kedua, manakala Garcia melengkapkan podium di tempat ketiga selepas bersaing sengit dengan barisan pelumba Asia.
“Dalam perlumbaan saringan, kita dapat lihat Travis mengejar Aaron, jadi apa yang boleh saya katakan ialah tahap perlumbaan kami sekarang hampir mencapai standard peringkat dunia,” katanya.
Daniel berkata format perlumbaan yang berlandaskan peraturan FIA Karting turut menguji keupayaan pelumba menerusi sesi kelayakan, perlumbaan saringan, saringan super sebelum saingan penentuan di peringkat akhir.
Beliau berkata Malaysia mempunyai kelompok bakat yang besar untuk dikembangkan selepas beberapa pelumba tempatan seperti Travis Teoh, Katrina Ee, Putra Adam dan Melvin Moh pernah menggunakan platform karting sebelum melangkah ke perlumbaan Formula atau GT.
“Bagi kami, IAME Siri Asia adalah kejohanan serantau yang menawarkan standard bertaraf perdana dan setanding dengan standard Eropah, selain menjadi platform kepada pelumba muda untuk bergerak ke tahap seterusnya sama ada dalam perlumbaan GT atau siri Formula,” katanya. – UTUSAN










