TEHERAN: Kementerian Luar Iran menggesa semua negara menolak tindakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Tehran, sambil menyifatkan penyertaan dalam langkah berkenaan sebagai tindakan bersubahat dalam memaksakan kehendak sebuah negara terhadap negara berdaulat lain.
Dalam kenyataan di akaun X kementerian itu semalam, langkah ekonomi baharu AS disifatkan sebagai ‘keganasan negara’ yang menyalahi undang-undang serta jenayah terhadap kemanusiaan.
Menurut kementerian itu, sekatan berkenaan meletakkan kesihatan dan kehidupan jutaan orang awam dalam risiko serius.
Ia turut menggesa masyarakat antarabangsa menegakkan kedaulatan undang-undang dan berkata Teheran akan menggunakan segala keupayaannya untuk mempertahankan diri daripada apa yang disifatkan sebagai serangan ketenteraan serta ekonomi oleh AS dan Israel.- AGENSI










