Kok Siang, Pei Tty kembali ke pangkuan BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melantik dua bekas pemain kebangsaan, Teo Kok Siang dan Wong Pei Tty selaku jurulatih bagi mengukuhkan barisan kejurulatihan skuad negara.

Baik Kok Siang mahupun Pei Tty, kedua-dua mereka akan memulakan tugas bersama BAM pada 1 September ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan BAM di sini, hari ini, Kok Siang yang sebelum ini pernah diberi tanggungjawab mengendalikan program beregu untuk pemain di peringkat remaja dan senior akan menyertai pasukan kejurulatihan beregu campuran.

Sementara Pei Tty pula yang merupakan bekas beregu wanita No. 1 dunia dan pernah mewakili Malaysia di pentas Sukan Olimpik pada 2004 serta 2008, akan menggalas tugas sebagai jurulatih pembangunan beregu wanita kebangsaan.

“BAM berharap pelantikan Kok Siang dan Pei Tty akan dapat membantu memperkuatkan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan sebagai salah satu usaha bagi meningkatkan pembangunan pemain dan prestasi mereka di pentas antarabangsa,” kata kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, kepulangan kedua-dua jurulatih berkenaan diharap dapat membawa masuk pengalaman dan juga kefahaman berharga mengenai program pembangunan skuad kebangsaan, memandangkan mereka pernah berada di dalam struktur kejurulatihan BAM.

“Pelantikan mereka juga merupakan sebahagian usaha BAM bagi mengukuhkan struktur kejurulatihan, membawa masuk jurulatih berpengalaman bagi menyokong teknikal, taktikal dan pembangunan keseluruhan pemain kebangsaan,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN