LIVERPOOL: Victor Munoz muncul sebagai penyelamat Liverpool apabila jaringan lewatnya memastikan The Reds terlepas daripada kekalahan kepada Nottingham Forest menerusi keputusan 2-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, semalam.
Liverpool mengalami dua kali ketinggalan selepas Dan Ndoye dan Morgan Gibbs-White masing-masing menemui sasaran buat Forest, sebelum Alexander Isak menghidupkan semula harapan tuan rumah pada babak kedua.
Namun, Forest hampir mencipta kejutan besar apabila mereka berpeluang mencatat kemenangan di Anfield untuk musim ketiga berturut-turut sebelum rembatan Munoz yang terkena defleksi menyelamatkan mata buat Liverpool.
Bos Liverpool, Andoni Iraola mengakui anak-anak buahnya gagal mengawal permainan pada separuh masa pertama sebelum memperlihatkan peningkatan selepas rehat, namun perubahan itu masih belum cukup untuk memastikan kemenangan.
“Itu jelas, separuh masa pertama kami bermain dengan buruk dan gagal mengawal permainan.
“Kami meningkat dengan banyak pada separuh masa kedua, lebih bertenaga dan lebih pantas menggerakkan bola, tetapi masih tidak cukup untuk memenangi perlawanan,” kata Iraola.
Keputusan seri itu menyaksikan Iraola masih belum merasai kekalahan dalam dua perlawanan pertamanya sebagai pengurus Liverpool selepas turut menyaksikan anak buahnya bangkit untuk mengikat Newcastle United 2-2 pada aksi pembukaan minggu lalu.
Iraola kini mempunyai peluang memperkuatkan lagi barisan serangannya apabila Liverpool dilaporkan semakin hampir mendapatkan pemain sayap Perancis, Bradley Barcola dari Paris Saint-Germain menerusi perjanjian bernilai 106 juta pound (RM577 juta) yang boleh meningkat kepada 123 juta pound (RM670 juta). – AGENSI










