KUALA LUMPUR: Atlet taekwondo Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Nasruddin Azrin meneruskan rentak kecemerlangannya apabila merangkul pingat emas acara kyorugi kategori 74 hingga 80 kilogram (kg) pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya (UM), hari ini.
Atlet berusia 21 tahun itu menewaskan wakil tuan rumah, Koh Hong Sern dari UM untuk muncul juara, manakala pingat gangsa masing-masing menjadi milik M. Daneshkumar dari Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) dan T. Aravintan dari Politeknik Malaysia.
Lebih menarik, kejayaan itu hadir hanya kira-kira dua minggu selepas Nasruddin turut mencipta kecemerlangan sama apabila meraih emas dalam acara kyorugi kategori 74 hingga 80kg pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 ketika mewakili Terengganu.

Nasruddin berkata, rentetan kejayaan dalam dua temasya itu bukan semata-mata bergantung kepada kecergasan, sebaliknya turut dibantu pengurusan pasukan yang memastikan proses pemulihan dilakukan dengan baik.
“Alhamdulillah, saya tiada rahsia apa-apa. Saya cuma berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana ketika SUKMA, pasukan Terengganu memberikan saya sesi pemulihan seperti urutan dan mandi ais selepas perlawanan.
“Jadi, saya boleh fokus untuk SUKIPT pula. Selepas perlawanan hari ini pun, pengurus sudah maklumkan akan ada sesi mandi ais kerana selepas ini saya akan fokus kepada perlawanan lain pula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nasruddin berkata, dia turut meletakkan sasaran untuk beraksi pada ASEAN University Games (AUG) yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur hujung tahun ini, selain mengimpikan peluang ke Sukan SEA pada masa depan.
“Kalau teruskan latihan, insya-Allah tahun depan. Tetapi tahun ini, kalau ada rezeki, saya mahu sertai AUG dan mewakili Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, bagi kategori 80kg ke atas menyaksikan emas menjadi milik Muhammad Luqman Haqim Mohd Suhaimi dari Politeknik Malaysia selepas dia menewaskan Lim Jia Wei dari Sunway University.

Gangsa dikongsi bersama Adzim Syamir Shofian dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Muhammad Farish Haiqal Farizul Farid yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). – UTUSAN










