LONDON: Juara dunia Formula 1 (F1), Lando Norris menandatangani kontrak baharu bersama McLaren yang menyaksikan pelumba Britain itu kekal bersama pasukan tersebut sehingga penghujung musim 2030.
Norris, 26, yang mendapat sokongan McLaren sejak menyertai program pembangunan junior pasukan itu melakukan penampilan sulung dalam F1 pada 2019 dan terus menjadi tonggak pasukan.
Kontrak terbaharu itu hadir selepas Norris mencatat dua kemenangan berturut-turut di Hungary dan Zandvoort, sekali gus memastikan masa depannya bersama McLaren untuk tempoh empat tahun lagi.
Menariknya, kontrak berkenaan turut menyaksikan Norris dan juara dunia empat kali, Max Verstappen berpotensi berada dalam pasaran pemandu bagi musim 2031, ketika F1 dijangka berdepan perubahan besar termasuk kemungkinan penggunaan semula enjin V8.
“McLaren adalah rumah saya dan saya sangat gembira menandatangani kontrak baharu untuk kekal bersama pasukan ini sehingga sekurang-kurangnya 2030.
“Ketika saya memulakan perjalanan ini sembilan tahun lalu, saya jelas dengan matlamat yang ingin dicapai, iaitu membawa McLaren kembali ke kelompok hadapan dan memenangi kejuaraan.
“Kami sudah mencapai matlamat itu, tetapi kami mahukan lebih banyak lagi. Kami mahu terus menang dan kami tahu sebagai sebuah pasukan bahawa kami mampu melakukannya,” kata Norris.
Sepanjang kariernya bersama McLaren, Norris sudah mengumpul 18 petak pertama, 48 podium dan 13 kemenangan, selain membantu pasukan itu meraih dua kejuaraan pengeluar serta satu kejuaraan pemandu.
Sebagai penghargaan terhadap kejayaan menjulang gelaran dunia, McLaren turut menghadiahkan Norris jentera MCL39 yang dipandunya ketika memenangi kejuaraan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif McLaren Racing, Zak Brown menyifatkan perjalanan Norris bersama pasukan itu sebagai bukti komitmen mereka dalam membangunkan bakat bertaraf dunia.
“Saya amat gembira dapat menandatangani kontrak baharu bersama Lando, sekali gus melanjutkan komitmennya dengan McLaren sehingga sekurang-kurangnya 2030,” katanya. – AGENSI










