Spurs belum panik tumbang dua kali

PEMAIN tengah Newcastle United, Lewis Hall (kiri) melepaskan percubaan ke arah gawang ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur, London, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Tottenham Hotspur berdepan permulaan paling mengecewakan dalam lebih lima dekad apabila tewas dua perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa menjaringkan gol, namun penggendalinya, Roberto De Zerbi enggan mengalah.

Kekalahan 0-2 kepada Newcastle United di laman sendiri, semalam, menyaksikan Spurs kini menghuni dasar liga selepas terlebih dahulu dibelasah 0-3 oleh Brentford pada aksi pembukaan minggu lalu.

Lebih membimbangkan, skuad yang menelan belanja lebih 300 juta pound (RM1.63 bilion) pada jendela perpindahan kali ini gagal menghasilkan sebarang gol dalam dua aksi pertama buat kali ketiga dalam sejarah kelab dan yang pertama sejak musim 1974-75.

“Tiada panik. Saya tahu hala tuju kami dan perancangannya. Saya minta maaf kepada penyokong atas keputusan ini. Kami perlu memperbaiki keadaan, bekerja keras di atas padang dan mencari keserasian antara pemain,” kata De Zerbi.

De Zerbi yang sudah membawa masuk lapan pemain sejak akhir musim lalu mengakui masih memerlukan penambahbaikan, malah berharap dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya satu lagi pembelian utama sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September.

“Kami kecewa dengan keputusan kerana sehingga gol pertama yang kami bolos, saya rasa kami bermain lebih baik daripada Newcastle. Kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol, tetapi perlu memperbaiki keputusan terakhir kerana perkara itu yang akan membuat perbezaan,” katanya.

Kedudukan Tottenham semakin meresahkan selepas kelab itu menamatkan dua musim lalu di tangga ke-17 dan kini terpaksa bergelut untuk mencari identiti baharu di bawah kendalian De Zerbi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN