PETALING JAYA: Systech Bhd. memperluas portfolio perisian perusahaan apabila anak syarikat milik penuhnya, Systech Digital Solutions Sdn. Bhd. dilantik sebagai pengedar bukan eksklusif produk perisian pangkalan data Kingbase di Malaysia.
Pelantikan itu dibuat menerusi Perjanjian Pengedar Induk Malaysia yang dimeterai dengan China Electronics Technology Kingbase (Beijing) Technologies Inc. (CETKBT).
Menerusi perjanjian berkenaan, Systech Digital diberi kuasa memasarkan dan menjual produk perisian pangkalan data Kingbase di Malaysia, tertakluk kepada pengaturan pelanggan dan wilayah yang dipersetujui kedua-dua pihak.
CETKBT pula akan menyediakan sokongan kepada Systech Digital menerusi bahan promosi, dokumentasi produk, sokongan saluran serta latihan berkala meliputi pengetahuan produk, penyelesaian, keupayaan jualan dan perkongsian maklumat pasaran.
Pelantikan itu menyediakan laluan tambahan untuk Kumpulan memasarkan dan mengedarkan produk perisian pangkalan data dengan memanfaatkan rangkaian pelanggan serta keupayaan pengedaran sedia ada.
Ia turut melengkapi penawaran Systech dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), Perancangan Sumber Perusahaan (ERP), Pengurusan Modal Insan (HCM) dan penyelesaian transformasi digital.
Pengarah Urusan Systech Bhd., Dr. Low Min Yew, berkata perisian pangkalan data merupakan komponen asas dalam sistem digital dan pelantikan itu menambah satu lagi elemen penting kepada portfolio teknologi perusahaan syarikat.
“Pengedaran Kingbase menyediakan penyelesaian lain yang boleh kami bawa kepada pelanggan melalui rangkaian sedia ada, sambil melengkapi keupayaan transformasi digital kami yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Systech memberi tumpuan membina tawaran teknologi yang lebih luas dan bersepadu bagi memenuhi keperluan perusahaan Malaysia.
“Gabungan produk perisian pangkalan data Kingbase dengan keupayaan jangkauan dan penyampaian pasaran tempatan Systech Digital diyakini mampu mewujudkan peluang perniagaan tambahan,” katanya.
Systech Digital akan menetapkan sumber khusus bagi mengurus perniagaan Kingbase dan mempromosikan produk berkenaan secara aktif di Malaysia.
Kedua-dua pihak juga berhasrat meluaskan liputan pasaran tempatan menerusi penglibatan pelanggan, pembangunan saluran dan pembolehan teknikal, dengan CETKBT menyediakan sokongan produk serta pasaran secara berterusan.
Perjanjian itu berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2027 dan boleh diperbaharui menerusi perjanjian baharu, tertakluk kepada pencapaian sasaran prestasi, pematuhan syarat perjanjian serta persetujuan kedua-dua pihak.
Systech berkata, pelantikan berkenaan dijangka tidak memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau gearan Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.
Bagaimanapun, Lembaga Pengarah menjangkakan pelantikan itu membuka peluang perniagaan tambahan dan menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan pada masa depan.
Pelantikan tersebut turut selari dengan strategi Systech untuk mengembangkan portfolio produk serta perniagaan pengedarannya di Malaysia, selain memanfaatkan rangkaian pelanggan sedia ada dalam meneroka peluang baharu dalam teknologi digital.-UTUSAN










