KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengarahkan tenteranya meningkatkan serangan dron jarak jauh ke atas Russia ketika Moscow terus melancarkan serangan maut di negara itu.
Zelensky berkata, tentera Ukraine diarah menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 dron sehari ke Russia, lebih tiga kali ganda daripada anggaran semasa sebanyak 300 dron.
“Perlu ada lebih banyak lagi. Ada matlamat yang jelas dan kita akan melaksanakan tugas ini,” katanya dalam ucapan kelmarin.
Dalam hantaran di Telegram, Zelensky turut mengulas laporan mengenai kunjungan Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS), John Ratcliffe, ke Moscow untuk mengadakan beberapa pertemuan.
Beliau berkata, Kyiv menerima maklumat daripada pihak AS mengenai pertemuan yang berlangsung di Moscow sejak beberapa hari lalu, namun tidak mendedahkan butirannya.
“Terdapat beberapa pertemuan di sana,” katanya sambil berterima kasih kepada AS atas maklumat yang diberikan dan nada perbualan yang diperlukan dengan Russia.
Kremlin mengesahkan Ratcliffe mengadakan pertemuan dengan pegawai perisikan Russia di Moscow, namun menegaskan tidak bertemu Presiden Vladimir Putin.
Kunjungan Ketua CIA itu ke Moscow merupakan pertemuan peringkat tinggi yang jarang berlaku antara agensi perisikan kedua-dua negara ketika rundingan damai antara Russia dan Ukraine masih menemukan jalan buntu.
Serangan berterusan Russia turut mengorbankan beberapa nyawa dan mencederakan puluhan orang di seluruh Ukraine sejak beberapa hari lalu.- AL JAZEERA










