AS rancang sekatan mingguan terhadap Iran

GAMBAR yang dirakam satelit Copernicus Sentinel-2 menunjukkan pemandangan Pulau Kharg yang menempatkan terminal utama eksport minyak mentah Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ketegangan di Selat Hormuz dan siri serangan balas Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Teluk kembali mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan perkapalan dan bekalan tenaga global selepas hampir sebulan reda.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, Washington berkemungkinan mengumumkan sekatan sekunder baharu setiap minggu, bermula dengan menyasarkan institusi perbankan yang didakwa membantu Iran mengakses sistem kewangan antarabangsa.

“Kita bermula dengan bank dan kita memberitahu mereka tidak boleh menerima wang Iran serta membantu rejim itu.

“Anda akan melihat lebih banyak tindakan seperti ini setiap minggu,” kata Bessent kepada Reuters menjelang pertemuan pemimpin kewangan Kumpulan 20 (G20).

Selepas mengenakan sekatan terhadap cawangan Banque Misr dari Mesir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat berhubung dakwaan hubungan kewangan dengan Iran, Bessent berkata langkah seterusnya mungkin melibatkan tindakan memutuskan sesebuah institusi sepenuhnya daripada sistem kewangan berasaskan dolar AS.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut dilihat kembali melontarkan retorik perang apabila mendakwa hab tenaga Iran di Pulau Kharg ‘hancur berkecai’, menerusi satu hantaran ringkas di media sosial yang disertakan klip video dijana kecerdasan buatan (AI) semalam.

Tiada bukti lain yang menunjukkan hab tenaga Iran itu sedang diserang. Rumah Putih dan Jabatan Pertahanan AS juga tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan.

“Pulau Kharg sedang hancur berkecai!!! Presiden DJT,” kata Trump dalam hantaran media sosial itu, tanpa memberikan butiran lanjut.

Serangan terhadap Pulau Kharg, yang mengendalikan 90 peratus eksport minyak Iran sebelum perang tercetus pada 28 Februari, akan menjejaskan perdagangan tenaga negara itu dengan teruk serta memberi tekanan besar terhadap ekonominya.

Awal pagi semalam, Tentera AS memaklumkan menyerang dua pelancar roket Iran di Pulau Larak pada Ahad, menurut seorang pegawai AS, sekali gus menandakan serangan pertama Washington terhadap Republik Islam itu yang diketahui sejak akhir Julai.

Pulau Larak terletak kira-kira 660 kilometer di timur Pulau Kharg.

Pulau kecil di Selat Hormuz itu menghadap laluan perkapalan di pintu masuk Teluk dan memainkan peranan penting dalam ketegangan berkaitan Iran, keselamatan maritim serta bekalan tenaga global.

Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap dua pangkalan AS di Jordan dan UAE, lapor media Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN