Fernandes kini ‘senjata’ pemusnah Man. United

Bruno Fernandes meraikan jaringan gol di depan penyokong tuan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Ipswich Town di Old Trafford, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Bruno Fernandes membuktikan dia bukan lagi sekadar arkitek serangan Manchester United apabila meledak hatrik untuk mengemudi skuad kendalian Michael Carrick membelasah Ipswich Town 5-2 di Old Trafford, semalam.

Keputusan itu, menghadiahkan kemenangan pertama The Red Devils dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kejayaan itu hadir tepat pada masanya buat United yang masih mencari rentak selepas dikejutkan Hull City pada aksi pembukaan dan ia turut mengembalikan keyakinan penyokong bahawa pasukan itu kembali berada di landasan yang tepat.

Fernandes, yang selama ini terkenal sebagai pemain sering mencipta peluang utama namun kali ini dia telah mengambil alih tugas peledak dengan penuh bergaya pad aksi menentang Ipswich.

Pemain Portugal itu turut mencatat hatrik keduanya dalam saingan EPL sejak menyertai United pada tahun 2020.

“Dia sangat penting buat kami. Dia sudah berada di sini selama beberapa tahun dan melalui pelbagai emosi serta pengalaman.

“Dia mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsi dengan pemain lain, menunjukkan jalan, memimpin melalui teladan dan membantu pasukan dalam pelbagai situasi.

“Pada hari seperti ini, apabila kami memerlukan seseorang untuk memberikan sesuatu yang lebih, dia melakukannya dengan sangat baik,” kata Carrick.

Prestasi memukau Fernandes itu meneruskan kecemerlangannya sejak penghujung musim lalu apabila dia berkembang menjadi nadi utama pasukan di bawah bimbingan Carrick selepas Ruben Amorim meninggalkan kelab pada Januari.

Fernandes turut merangkul anugerah Pemain Terbaik EPL selain memecahkan rekod bantuan gol terbanyak dalam satu musim, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain paling berpengaruh di England.

Nilai sebenar Fernandes juga tidak hanya terletak pada gol dan bantuan jaringan, malah, komitmennya ketika bertahan, tekanan agresif terhadap lawan, kesanggupan turun membantu mendapatkan semula penguasaan bola serta kepimpinannya di atas padang menjadikan dia aset yang sukar digantikan.

“Dia memberikan kami banyak perkara. Apa lagi yang boleh saya katakan?” ujar Carrick.

Sementara itu, Marcus Rashford turut mencuri perhatian apabila menerima sorakan gemuruh penyokong selepas kembali membuat penampilan dalam kesebelasan utama United buat kali pertama dalam tempoh lebih 600 hari.

Rashford sebelum ini tersisih daripada perancangan Amorim sebelum dipinjamkan ke Aston Villa dan Barcelona, namun pemain itu kini dilihat semakin hampir menghidupkan semula kariernya di Old Trafford. – AGENSI

 

Bruno Fernandes meraikan jaringan gol di depan penyokong tuan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Ipswich Town di Old Trafford, semalam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN