PYONGYANG: Korea Utara menyifatkan latihan maritim bersama Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun yang dijadualkan September sebagai ancaman terhadap negara itu, dengan melabelkan Washington sebagai musuh.
Latihan itu berlangsung ketika Presiden AS, Donald Trump, berusaha mengadakan pertemuan baharu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Ketiga-tiga negara sekutu berkenaan dijadual menjalankan latihan Freedom Edge pada 7 hingga 11 September di perairan antarabangsa di timur dan selatan Pulau Jeju, Korea Selatan, dengan Seoul menyifatkannya sebagai latihan pertahanan.
Freedom Edge pertama kali diadakan pada Jun 2024 susulan persetujuan yang dicapai pemimpin ketiga-tiga negara pada sidang kemuncak Camp David pada 2023.
“Latihan ketenteraan bersama pelbagai domain AS-Jepun-Republik Korea (ROK), Freedom Edge, merupakan ancaman terhadap Republik Demokratik Rakyat Korea dan negara-negara serantau,” kata Kementerian Luar Korea Utara dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi KCNA.
Jurucakap kementerian itu turut menuduh Washington melakukan pengintipan udara dan provokasi ketenteraan lain terhadap Korea Utara secara berterusan.
“Pentadbiran Trump sekali lagi mengesahkan dasar permusuhannya yang berterusan dengan sewenang-wenangnya melanggar kedaulatan, sistem politik dan kepentingan keselamatan Korea Utara,” kata jurucakap itu.
Korea Utara menyifatkan pemilikan senjata nuklearnya sebagai pilihan paling bertanggungjawab dan tepat bagi menjamin keamanan serta keselamatan serantau.
Jurucakap itu turut menyifatkan senjata nuklear negara berkenaan sebagai jaminan mutlak untuk mempertahankan kedaulatannya.
Kenyataan itu dibuat selepas Seoul dan Washington menamatkan latihan ketenteraan tahunan utama mereka, Ulchi Freedom Shield, yang diarahkan Trump supaya dikurangkan daripada 11 hari kepada lima hari, dengan alasan kos tinggi serta hubungan baiknya dengan Jong-un.- AFP










