Rakyat Iran tanggung beban perang

SEORANG wanita melintasi Dataran Enghelab di Teheran, berhampiran papan iklan gergasi anti-Amerika Syarikat (AS) yang memaparkan Presiden Donald Trump di dalam keranda dengan tulisan 'Kami bunuh Trump'.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Lebih enam bulan selepas perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran tercetus, sebahagian besar rakyat negara itu kini bergelut meneruskan kehidupan dalam keadaan yang semakin mencabar.

Kepimpinan politik dan ketenteraan Iran dilihat berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan akibat konflik itu tanpa membuat sebarang konsesi besar terhadap prinsip ideologi mereka.

Namun, bagi kira-kira 90 juta penduduknya, tekanan akibat perang semakin dirasai dalam kehidupan seharian, dengan kelangsungan hidup menjadi cabaran utama.

“Saya hanya mahu kehidupan yang tidak memerlukan saya sentiasa berdepan pertelingkahan dengan orang lain, semakin terasing daripada dunia luar dan sentiasa memikirkan cara untuk bertahan. Ini kitaran yang sangat meletihkan,” kata seorang penduduk Teheran, Marjan, kepada Al Jazeera.

Konflik itu tercetus pada 28 Februari lalu apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, selain beberapa tokoh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan pegawai kanan kerajaan.

Namun, kerajaan Iran kekal bertahan dengan anak lelaki Khamenei, Mojtaba Khamenei, dipilih sebagai pemimpin tertinggi baharu, meskipun beliau jarang muncul di khalayak umum. Beberapa komander kanan tentera turut digantikan susulan serangan berkenaan.

Kesan konflik itu kini semakin ketara terhadap ekonomi dan kehidupan harian apabila kemusnahan melanda kemudahan minyak dan gas, loji petrokimia, keluli serta utiliti, selain kediaman, pelabuhan, lapangan terbang, jambatan serta infrastruktur lain.

Iran yang kaya dengan sumber asli kini berdepan kekurangan bahan api dan bekalan elektrik yang semakin meruncing, manakala pihak berkuasa turut bersiap sedia menghadapi kemungkinan kekurangan gas asli menjelang musim sejuk. 

Kerajaan juga sudah mengurangkan kuota bahan api bagi kenderaan persendirian dan dijangka menaikkan harga petrol. Tekanan ekonomi turut menghakis kuasa beli rakyat.

Ogos lalu, Pusat Statistik Iran melaporkan kadar inflasi meningkat 89 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala inflasi makanan melebihi 127 peratus.

Penganalisis data di sebuah syarikat teknologi di pusat Teheran, Bijan, berkata gajinya yang bernilai lebih AS$1,000 (RM4,026) sebulan ketika mula bekerja kira-kira tiga tahun lalu kini susut kepada kurang AS$500 (RM2,013) meskipun menerima tiga kali kenaikan gaji.

“Selepas tiga kali kenaikan gaji, nilai pendapatan saya kini kurang daripada AS$500,” katanya kepada Al Jazeera.

Nilai mata wang turut merosot ke paras terendah sepanjang masa apabila rial mencecah 2.06 juta berbanding dolar AS di pasaran terbuka Teheran pada Sabtu. 

Keadaan itu menambahkan tekanan terhadap rakyat yang sudah berdepan kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan asas dan ketidaktentuan ekonomi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN