WASHINGTON: Setiausaha Tentera Darat Amerika Syarikat (AS), Dan Driscoll, mengemukakan peletakan jawatan selepas kira-kira 18 bulan menerajui jabatan itu.
Peletakan jawatannya disahkan oleh CBS, rakan media BBC di AS, yang melaporkan keputusan itu dibuat selepas berbulan-bulan berlaku konflik antara beliau dengan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth.
Driscoll, yang merupakan setiausaha tentera darat termuda pernah dilantik, sering digelar sebagai ‘lelaki dron’ Presiden Donald Trump.
Dalam satu kenyataan kepada CBS, Rumah Putih menyifatkan Driscoll, 41, sebagai individu yang ‘sangat berkesan’ dalam memajukan agenda Trump untuk ‘Menjadikan Amerika Kembali Kuat’ serta memberikan kepimpinan cemerlang ketika operasi ketenteraan.
BBC menghubungi Rumah Putih, Pentagon dan Tentera Darat untuk mendapatkan ulasan.
Driscoll merupakan pemimpin kanan tentera terbaharu yang meninggalkan jawatan dalam siri pemergian berprofil tinggi sejak kebelakangan ini, termasuk Setiausaha Tentera Laut John Phelan yang berhenti secara mengejut pada April lalu.
Antara pegawai kanan lain yang turut meninggalkan jawatan ialah Ketua Turus Tentera Darat Randy George, Jeneral Tentera Darat David Hodne dan Mejar Jeneral William Green.
Sejak menerajui Pentagon, Hegseth memecat lebih sedozen pegawai kanan tentera, termasuk Ketua Operasi Tentera Laut dan Timbalan Ketua Turus Tentera Udara.
Butiran mengenai konflik dalaman antara Driscoll dan Hegseth masih belum jelas. Namun, CBS melaporkan Driscoll mempunyai hubungan rapat dengan George, yang dilaporkan diminta Hegseth supaya meletakkan jawatan.
Jawatan setiausaha Tentera Darat merupakan kedudukan awam tertinggi dalam Tentera Darat AS, dengan tanggungjawab mengawasi anggota tentera bertugas aktif, selain anggota Pengawal Kebangsaan dan pasukan simpanan.
Driscoll pernah berkhidmat dalam Tentera Darat dan menjadi pegawai pada 2007 sebelum mengetuai satu platun kavalri serta ditugaskan ke Iraq selama beberapa bulan pada 2009.
Sebagai setiausaha Tentera Darat, Driscoll dikenali sebagai ‘lelaki dron’ Trump kerana sokongannya terhadap penggunaan teknologi baharu dalam medan perang.
Beliau turut memainkan peranan utama dalam rundingan bagi menamatkan perang Russia-Ukraine tahun lalu, termasuk melakukan beberapa lawatan ke luar negara dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Driscoll juga merupakan sekutu rapat dan sahabat Naib Presiden AS, JD Vance, yang dikenalinya ketika mereka belajar di Sekolah Undang-Undang Yale.- BBC










