Wendy kembali bantu skuad terjun negara

Wendy Ng.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas setahun menimba pengalaman di luar negara, bekas penerjun kebangsaan, Wendy Ng kembali ke tanah air untuk membantu memperkukuh pembangunan skuad terjun negara.

Pemenang tujuh kali pingat emas Sukan SEA itu menerima tawaran Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyertai semula program terjun kebangsaan yang berpusat di Bukit Jalil.

Wendy yang berusia 33 tahun sebelum ini mencipta kelainan apabila menjadi bekas penerjun negara pertama melebarkan sayap ke luar negara untuk bergelar jurulatih selepas menerima tawaran Akuatik Singapura pada awal tahun lalu.

Bagaimanapun, tugasnya di Singapura berakhir bulan lalu apabila dia meninggalkan jawatan jurulatih pembangunan bakat sebelum memilih untuk kembali menyumbang kepada pembangunan penerjun muda negara.

“Saya mendapat pengalaman yang baik di Singapura dan berkembang bersama sukan ini dari sudut kejurulatihan. Saya rasa skuad terjun Malaysia juga memerlukan bekas penerjun untuk kembali menyumbang,” katanya.

Wendy yang mengumumkan persaraan dua tahun lalu berkata, keputusan kembali ke Malaysia didorong keinginannya untuk membuka lembaran baharu selain menyahut cabaran berbeza dalam karier kejurulatihan.

Kali ini, bekas penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu akan memberikan tumpuan kepada penerjun muda dengan pengalaman yang dimilikinya hasil pengalaman bertahun-tahun sebagai atlet elit dan jurulatih di Singapura.

“Saya akan bekerja dengan penerjun yang sangat muda untuk membantu meningkatkan kemahiran mereka, dan itu juga yang saya lakukan di Singapura sebelum ini,” katanya.

Kepulangan Wendy turut menambah wajah bekas atlet dalam barisan kejurulatihan terjun kebangsaan apabila dia menjadi bekas penerjun kelima yang kembali menyumbang kepada skuad negara.

Empat lagi ialah Datuk Leong Mun Yee, Ooi Tze Liang, Nor Aznizal Najib dan Farah Begum Abdullah yang kini memainkan peranan dalam program kejurulatihan terjun negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN