Sedih dan sayu. Itulah reaksi kebanyakan pengguna media sosial selepas membaca kisah menyayat hati seekor ibu gajah yang enggan berpisah daripada bangkai anaknya yang mati dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kira-kira jam 2 pagi pada 11 Mei lalu.
Situasi penuh emosi itu menyebabkan pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa menenangkan ibu gajah berkenaan dengan tembakan ubat pelali.
Namun, siapa sangka, tembakan pertama dan kedua langsung tidak memberi kesan.
Menurut Penolong Pegawai Hidupan Liar Perhilitan Daerah Gerik, Ahmad Syawaludin Mohamed Gani, kebiasaannya seekor gajah dewasa akan mudah ditenangkan dengan satu dos ubat pelali sahaja.
Namun, dalam kes ini, ibu gajah itu menunjukkan ketahanan luar biasa, dipercayai akibat masih beremosi selepas kehilangan anaknya.
“Kami beri dos pertama (8ml) jam 4 pagi, tapi selepas 15 minit dia masih belum tenang. Dos kedua (5ml) pada jam 4.30 pagi juga tidak berhasil.
“Akhirnya, dos ketiga (5ml) pada jam 5 pagi barulah berjaya menenangkannya,” katanya kepada Harian Metro.
Tindakan tersebut penting demi keselamatan pengguna jalan raya kerana lokasi kejadian terletak di laluan utama. Malah, bangkai anak gajah sukar dikeluarkan selagi si ibu enggan berganjak.
“Walaupun nampak tenang, gajah masih haiwan liar. Naluri semula jadinya boleh bertindak agresif pada bila-bila masa. Tapi yang paling menyentuh hati, kami dapat lihat sendiri betapa kuatnya kasih seekor ibu terhadap anaknya,” ujarnya.
Artikel berkaitan: Polis Jelas Jarak Anak Gajah Terlalu Dekat, Pemandu Tak Sempat Tekan Brek
Artikel berkaitan: Tular Video 2 Ekor Gajah Tolak Struktur Pagar, Rupanya Sedang Jalankan Proses Ujian Prototaip Pagar ECRL

Namun begitu, kisah ini berakhir dengan sedikit kelegaan apabila ibu gajah tersebut dipercayai telah menyertai semula kawanan gajah dan kembali ke habitat asalnya di Taman Negeri Royal Belum.
Menurut Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, perkara itu disahkan berdasarkan isyarat daripada cip penanda yang dipasang pada haiwan berkenaan.
“Dia mungkin sempat kembali ke lokasi kejadian, tapi kerana usianya masih muda (anggaran 25–27 tahun), dia mudah menyesuaikan diri dan menyertai kumpulan lain. Kami rasa lega kerana kehadirannya di kawasan lebuh raya boleh membahayakan pengguna.
“Gajah adalah haiwan yang memiliki daya ingatan kuat dan naluri ‘dendam’. Kalau mereka ingat sesuatu yang menyakitkan, tindak balas mereka boleh di luar jangkaan,” katanya.