
SERDANG, 5 September – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 terus mencatat perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 17 pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM3.27 bilion direkodkan pada hari kelapan penganjuran, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
- MoU RM1.5 bilion antara NAFAS, GPC dan CDIJS untuk pembangunan industri baja bersepadu termasuk pemindahan teknologi dan pemprosesan bahan mentah.
- Perjanjian membuka pasaran durian premium Malaysia ke China, melibatkan empat syarikat tempatan dan pembekalan tiga tahun bawah jenama Jiangnan Selected.
- MAHA 2026 terbukti sebagai platform strategik menghubungkan pemain tempatan dengan rakan dan pelabur antarabangsa, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pertanian.
Antara kerjasama utama menjadi tumpuan pada hari keempat, pertukaran MoU Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Guizhou Phosphate Chemical (GPC) Group dan Jiangsu Chemical Design Institute Co. Ltd. (CDIJS), yang melibatkan nilai sebanyak RM1.5 bilion.
“Kerjasama strategik ini memberi fokus kepada pembangunan industri baja bersepadu di Malaysia yang merangkumi pemprosesan bahan mentah, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti tempatan serta penerokaan peluang hiliran.
“Inisiatif ini dijangka menyumbang kepada pengukuhan ekosistem industri baja negara dan seterusnya menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara,” menurut KPKM.
Selain itu, pemeteraian MoU berimpak tinggi turut disaksikan pada hari keempat dalam usaha memperluas pasaran durian segar premium Malaysia ke pasaran China.
Mou itu melibatkan antara empat syarikat Malaysia iaitu Top Fruits Sdn. Bhd., JL Food Industries Sdn Bhd, Golden Fresh Durian Sdn Bhd, Phg Ever Fresh Food Sdn Bhd dan rakan strategik dari China
“Kerjasama ini merangkumi pembekalan dan pengedaran durian segar premium Malaysia secara whole fruit di bawah jenama Jiangnan Selected bagi tempoh tiga tahun.
“Kerjasama jangka panjang ini membuka peluang untuk memperkukuh akses pasaran, memperluas pengedaran produk durian Malaysia serta meningkatkan penjenamaan buah-buahan premium
Malaysia di pasaran antarabangsa,” katanya.

Pencapaian sepanjang lapan hari penganjuran ini, membuktikan MAHA 2026 bukan sahaja medium pameran dan promosi produk agri-food, malah berperanan secara proaktif sebagai platform strategik untuk mempertemukan pemain industri tempatan dengan rakan dagang dan pelabur antarabangsa.
Dengan pencapaian tersebut, MAHA 2026 terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, perdagangan dan kerjasama strategik dalam sektor pertanian dan agri-food di peringkat global.