Wanita dekati teknologi nuklear, ubi kayu jadi tumpuan Program Advokasi Nuklear


TEKNOLOGI nuklear mungkin kedengaran asing dan terlalu teknikal bagi sesetengah orang. Namun, bidang sains itu sebenarnya mempunyai pelbagai aplikasi yang dekat dengan kehidupan seharian, termasuk dalam sektor pertanian, pemakanan dan kesihatan.
Bagi mendekatkan kefahaman masyarakat terhadap manfaat teknologi berkenaan, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menganjurkan Program Advokasi Nuklear: Nuklear untuk Rakyat (N.U.R) @Wanita di RekaScape, Cyberjaya baru-baru ini.
Program yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Safida Zalma Mohd Piah itu memberi fokus kepada golongan wanita yang dilihat memainkan peranan penting dalam keluarga serta pembentukan pemikiran masyarakat.
Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin dan Naib Presiden Kanan, Usahasama Strategik Bioeconomy Corporation Fadzrin Azwar Abdul Aziz.
Antara perkara menarik yang diketengahkan ialah inovasi ubi kayu menerusi aplikasi teknologi nuklear.

Pegawai Penyelidik Bahagian Agroteknologi dan Biosains Agensi Nuklear Malaysia, Norazlina Noordin berkata, penyelidikan sejak 2021 itu berjaya menghasilkan beberapa potensi baka baharu ubi kayu yang boleh dituai dalam tempoh enam bulan.
Tempoh berkenaan hampir separuh lebih singkat berbanding varieti ubi kayu tempatan yang lazimnya memerlukan antara 11 hingga 12 bulan untuk dituai.
Menurutnya, penyelidikan selama lima hingga enam tahun itu bermula dengan matlamat menghasilkan baka baharu yang mempunyai tempoh matang lebih singkat tanpa menjejaskan hasil.
“Alhamdulillah, selepas lima hingga enam tahun penyelidikan, kami memperoleh beberapa potensi baka baharu yang dapat mengurangkan tempoh tuaian kepada enam bulan dan pada masa sama tidak menjejaskan hasil. Hasilnya tinggi berbanding varieti asal,” katanya.
Sisa radioaktif
Norazlina berkata, tempoh tuaian yang lebih singkat berpotensi membolehkan petani menanam ubi kayu dengan lebih kerap sekali gus meningkatkan pulangan ekonomi.
Projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia serta mendapat sokongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), termasuk geran penyelidikan kira-kira RM100,000 bagi tempoh lima tahun.
Menjelaskan proses penyelidikan, katanya, keratan batang ubi kayu didedahkan kepada sinaran gama sebelum ditanam dan melalui proses penyaringan bagi mengenal pasti perubahan dengan ciri yang dikehendaki.
Beliau menjelaskan, proses itu tidak menyebabkan bahan tanaman mempunyai sisa radioaktif kerana sinaran gama hanya melalui bahan berkenaan.
“Macam kita X-ray pun pass-through. Jadi tiada sisa,” katanya.
Selepas penyinaran, setiap keratan perlu ditanam dan diperhatikan dari satu generasi ke generasi seterusnya bagi memastikan ciri seperti matang awal dan hasil tinggi kekal stabil.

Teknologi sama juga berpotensi digunakan untuk menghasilkan tanaman yang lebih tahan penyakit, perosak dan perubahan cuaca.
Selain ubi kayu, penyelidikan turut dijalankan terhadap pisang, keledek dan keladi, selain kenaf untuk kegunaan industri serta napier sebagai makanan ternakan.
Dalam pada itu, Medical Imaging Department, School of Integrative Medicine & Life Sciences, KPJ Healthcare University, Profesor Ts Dr Norhayati Mohd Zain turut berkongsi mengenai penggunaan radiasi dalam bidang kesihatan.
Mengesan penyakit
Menurutnya, masih terdapat pelbagai mitos dalam kalangan masyarakat mengenai sinaran, sedangkan teknologi itu mempunyai banyak manfaat terutama untuk membantu mengesan penyakit.

Beliau memberi contoh penggunaan pemeriksaan seperti mamogram, X-ray konvensional dan CT scan yang boleh membantu mengesan masalah kesihatan termasuk kanser pada peringkat awal.
“Bila kita kata pasal nuklear, semua dengar macam takut. Tetapi sebenarnya ia memberi manfaat, terutama dalam bidang kesihatan,” katanya.
Norhayati turut menjelaskan makanan yang melalui proses penyinaran bagi tujuan tertentu tidak bermakna makanan berkenaan akan membawa radiasi kepada pengguna.
Katanya, pendedahan radiasi dilakukan pada proses tertentu untuk mendapatkan ciri yang dikehendaki seperti baka tanaman lebih baik atau makanan yang mempunyai jangka hayat lebih panjang.
Program N.U.R @Wanita turut menampilkan Cabaran Inovasi Masakan Ubi Kayu Nuklear, STEM Escape Room, pertandingan mewarna, sesi perkongsian serta pameran produk dan perkhidmatan.

Inisiatif itu selari dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.
Melalui pendekatan lebih santai dan interaktif, teknologi nuklear diharap tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang menakutkan, sebaliknya difahami sebagai ilmu yang mempunyai manfaat dalam memperkukuh kesihatan, pertanian dan keterjaminan makanan negara.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

