KOTA BHARU: Pas mengesahkan wakil parti itu akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pertengahan bulan ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menerima jemputan yang dihantar oleh UMNO hari ini.
“Surat jemputan (UMNO) itu ditujukan kepada Presiden Pas, Setiausaha Agung serta dua lagi wakil parti untuk menghadiri majlis perasmian PAU 2026 di WTCKL,” katanya selepas menghadiri mesyuarat persiapan akhir Muktamar Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata, kehadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke PAU belum dapat dipastikan atas faktor kesihatan.
“Kalau Tok Guru (Abdul Hadi) tak pergi, ada wakil dialah. Timbalan Presiden atau siapa wakil Presiden bersama Setiausaha Agung dan dua orang lagi wakil,” ujarnya. – UTUSAN










