RIYADH: Seorang penduduk cedera selepas serpihan peluru berpandu balistik yang berjaya dipintas jatuh di wilayah Asir, selatan Arab Saudi.
Menurut agensi Pertahanan Awam Arab Saudi dalam satu hantaran di platform X, kejadian itu berlaku di daerah Ahad Rafidah apabila serpihan peluru berpandu berkenaan jatuh selepas sistem pertahanan berjaya memintas ancaman tersebut.
Agensi itu memaklumkan mangsa mengalami kecederaan akibat insiden berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai tahap kecederaannya.
Selain menyebabkan kecederaan kepada seorang penduduk, serpihan peluru berpandu itu turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah surau yang terletak di dalam sebuah bangunan serta beberapa kenderaan di kawasan terbabit.
Pihak berkuasa berkata pasukan berkaitan telah menjalankan tindakan susulan di lokasi kejadian bagi menilai tahap kerosakan dan memastikan keselamatan orang ramai.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai asal peluru berpandu tersebut atau keadaan semasa mangsa yang cedera.