Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek lelaki berusia 45 tahun itu telah dikenakan hukuman penjara bagi kesalahan itu.
“Daripada semakan, dia ada satu kes jenayah rogol, satu kes dadah dan empat kes jenayah curi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Semua kes ini telah jatuh hukum,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, pada Selasa.
Menurut Ayob Khan, ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dan tiada sebarang unsur penggunaan bahan terlarang termasuk ketum seperti yang tular di media sosial.
“Ujian air kencing sudah dibuat dan hasilnya negatif. Kita juga sahkan dakwaan kononnya suspek membawa ketum adalah tidak benar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pihak polis akan melengkapkan siasatan dengan mengambil keterangan lanjut daripada suspek.
Ini termasuk menyemak semula semua aspek teknikal perlanggaran membabitkan lori membawa muatan batu itu.
Kejadian tragis yang berlaku pada jam 8.50 pagi tadi itu mengorbankan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam yang sedang dalam perjalanan pulang dari penugasan di Teluk Intan ke Ipoh.
Daripada jumlah itu, lapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital.
