AS Dijangka Umum Hasil Siasatan Lebihan Kapasiti Dalam Tempoh Empat Minggu - Johari
KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) dijangka mengumumkan hasil siasatannya mengenai lebihan kapasiti melibatkan Malaysia dalam tempoh kira-kira tiga hingga empat minggu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata siasatan itu hampir dimuktamadkan dan Malaysia terus berunding dengan AS berhubung takrifan lebihan kapasiti.
“Mereka hampir memuktamadkan siasatan mengenai lebihan kapasiti. Saya fikir isu buruh paksa telah selesai.
“Mengenai lebihan kapasiti, inilah perkara yang perlu kita rundingkan. Saya akan terus menjelaskan kepada mereka bahawa kita tidak mempunyai lebihan kapasiti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Bersama MAJECA-JAMECA ke-43 di sini hari ini.
Johari berkata kebimbangan Malaysia ialah takrifan AS mengenai lebihan kapasiti turut mengambil kira kapasiti yang berasal dari negara ketiga.
“Apa sahaja lebihan kapasiti, takrifan mereka turut merangkumi negara ketiga. Itulah perkara yang perlu kita tangani. Perkara ini masih dalam proses,” katanya.
Beliau berkata AS telah memaklumkan bahawa proses itu akan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat minggu sebelum melalui semakan dan kelulusan undang-undang sebelum pengumuman rasmi.
“Buat masa ini, kita kekal dengan keadaan semasa,” katanya.
Terdahulu dalam ucaptama, Johari menjelaskan bahawa tarif semasa sebanyak 10 peratus merupakan sebahagian daripada tindakan AS yang melibatkan 60 ekonomi di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan Malaysia antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif lebih rendah.
Beliau berkata ekonomi lain tertakluk kepada tarif sebanyak 12.5 peratus.
“Bayangkan, kita dikenakan kadar 10 peratus dan kita telah banyak mengadakan rundingan. Kita berunding dengan AS dan menjelaskan kepada mereka bahawa kita tidak mempunyai lebihan kapasiti,” katanya.
MAJECA merujuk kepada Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun manakala JAMECA ialah Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia.
-- BERNAMA