
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata pembentangan berkenaan merupakan satu lagi langkah penting dalam melaksanakan agenda reformasi institusi secara bertanggungjawab, inklusif dan berlandaskan Perlembagaan.
Beliau berkata jawatankuasa itu memperhalusi cadangan pindaan selepas mengadakan tujuh mesyuarat bagi meningkatkan kebebasan, integriti dan kebertanggungjawaban institusi pendakwa raya.
Antara cadangan itu termasuk memperkukuh peranan Parlimen dalam proses pelantikan pendakwa raya.
Pendakwa raya dicadangkan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, tanpa penglibatan perdana menteri atau Jemaah Menteri.
Pindaan itu turut mencadangkan tempoh perkhidmatan tetap selama tujuh tahun yang tidak boleh diperbaharui, pengenalan Kod Etika Pendakwa Raya serta kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang lanjut bagi memperkukuh institusi berkenaan.
Kenyataan Azalina menyusul laporan Malaysiakini bahawa bacaan kali kedua RUU pindaan Perlembagaan itu ditangguhkan selepas usul mengenai laporan jawatankuasa berkenaan dikeluarkan daripada aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Azalina berkata kerajaan turut menambah baik Fasal (18) dalam cadangan Perkara 145A Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuh peranan Parlimen dalam pelantikan pendakwa raya.
“Menurut pindaan dicadangkan, suruhanjaya akan menyerahkan nama calon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Dewan Rakyat kemudian akan meneliti calon itu menerusi sebuah jawatankuasa pilihan khas sebelum mengemukakan syornya kepada suruhanjaya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata berdasarkan syor itu, suruhanjaya hanya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai calon yang diperakukan Dewan Rakyat.
RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Feb lalu, namun mendapat bantahan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Ia kemudian dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen dwipartisan yang mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk meneliti dan merangka semula pindaan dicadangkan.