LATAR belakang individu turut memainkan peranan signifikan dalam membentuk kecenderungan agresif termasuk pengalaman trauma sejak kecil. - GAMBAR HIASAN

Mengapa manusia boleh jadi kejam?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA 1 Mei lalu, negara dikejutkan dengan insiden tragis apabila seorang penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) ditemui maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai ditikam sebanyak 61 kali dalam satu kejadian di Kampung Kubang Kiat, Ketereh, Kelantan.

Pelajar semester tiga jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu ditemui kira-kira pukul 12.30 tengah malam di tepi jalan.

Tragedi berkenaan bukan sahaja mengundang rasa gerun dalam kalangan masyarakat, malah mencetuskan persoalan besar mengenai faktor psikologi di sebalik tindakan ganas melampau yang membawa kepada pembunuhan tersebut.

Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, keganasan melampau lazimnya bukan berlaku secara spontan, sebaliknya merupakan hasil akumulasi tekanan emosi yang tidak ditangani dengan baik.

Menurut beliau, antara faktor utama yang sering dikenal pasti termasuk kawalan emosi yang lemah, kemarahan terpendam, serta persepsi ancaman terhadap diri yang tidak rasional.

“Dalam banyak kes, pelaku sebenarnya menyimpan konflik dalaman yang berpanjangan. Apabila ia mencapai tahap maksimum, individu berkenaan boleh ‘meletup’ tanpa memikirkan kesan atau akibat,” katanya kepada Kosmo!.

Mengulas mengenai jumlah tikaman yang tinggi dalam kes itu, beliau menjelaskan ia sering dikaitkan dengan ledakan kemarahan ekstrem atau rage outburst yang tidak terkawal.

“Perbuatan menikam berulang kali menunjukkan pelaku berada dalam keadaan emosi yang sangat terganggu. Ia boleh melibatkan elemen dendam, kemarahan melampau atau kehilangan kawalan diri sepenuhnya,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tidak semua individu yang melakukan jenayah kejam mempunyai gangguan mental klinikal seperti Antisocial Personality Disorder atau Intermittent Explosive Disorder.

Sebaliknya, ada juga pelaku yang bertindak akibat tekanan situasi tertentu, termasuk konflik hubungan, cemburu melampau atau rasa terhina.

Dalam masa sama, latar belakang individu turut memainkan peranan signifikan dalam membentuk kecenderungan agresif, termasuk pengalaman trauma sejak kecil, penderaan serta persekitaran keluarga yang tidak stabil.

“Individu yang dibesarkan dalam suasana penuh keganasan atau ketidakselamatan cenderung melihat dunia sebagai tempat berbahaya, sekali gus meningkatkan kecenderungan bertindak agresif,” ujarnya.

Tambahnya, pakar psikologi biasanya menilai profil suspek melalui penilaian klinikal dan forensik, termasuk sejarah tingkah laku, corak hubungan sosial serta tahap empati.

Antara tanda awal yang sering dikesan ialah mudah marah, mempunyai sejarah keganasan kecil seperti membuli, serta kurang rasa bersalah selepas menyakiti orang lain.

Dalam konteks keganasan terhadap wanita, Siti Fatimah menjelaskan faktor seperti mentaliti dominasi, cemburu melampau dan ketidakmatangan emosi sering menjadi punca utama.

“Bagi lelaki muda, kegagalan mengurus emosi dan tekanan boleh membawa kepada tindakan agresif, terutama apabila digabungkan dengan norma sosial yang merendahkan wanita,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN