Gambar hiasan

Dadah hab utama ‘lahirkan’ 28 jenayah lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Kesalahan dadah dikenal pasti sebagai “hab” utama yang memacu jenayah sistemik di negara ini apabila berfungsi menghubungkan sekurang-kurangnya 28 jenis jenayah lain termasuk kecurian, pecah rumah dan keganasan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusuh berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan laporan penyelidikan oleh Pusat Data Sains Kementerian Dalam Negeri menerusi analisis rangkaian terhadap Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ini menunjukkan kegagalan menangani isu penyalahgunaan dadah berpotensi menyebabkan peningkatan semula jenayah lain yang berkait rapat secara sistemik,” katanya kepada Bernama.

Beliau mendedahkan statistik penagih dan penyalahgunaan dadah di peringkat nasional merekodkan 123,139 individu pada 2021, sebelum meningkat kepada 137,176 individu (2022) dan 145,526 individu (2023).

Menurut Ruslin, angka berkenaan melonjak ke paras 192,857 individu pada 2024 sebelum mencatatkan sedikit penurunan kepada 191,832 individu tahun lepas.

Ruslin berkata, bagi Sabah pula, rekod penagihan dalam tempoh lima tahun menunjukkan 6,377 individu pada 2021, 8,156 individu (2022), 8,567 individu (2023), 9,207 individu (2024) dan 8,665 individu (2025).

“Walaupun jumlah penagih di Sabah menurun, dadah jenis amphetamine-type stimulants (ATS) atau syabu masih mendominasi statistik dengan penglibatan sebanyak 8,524 individu,” katanya.

Beliau berkata, jumlah itu jauh mengatasi kategori dadah lain yang merekodkan 73 individu, iaitu ganja (50), opiat (11) dan pil psikotropik (7).

“Perubahan trend dan bentuk penyalahgunaan dadah semakin sukar dikesan, khususnya dengan peningkatan penggunaan dadah sintetik serta kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) yang dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik atau vape seperti etomidate dan kanabinoid sintetik,” katanya.

Ruslin berkata, bahan terlarang yang hadir dalam bentuk produk fizikal menyerupai barangan harian serta stigma masyarakat terhadap individu dalam pemulihan menjadi cabaran utama AADK di Sabah. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN