Keadaan bot Sea Queen yang terlibat insiden bot berlanggar di Kuala Sungai Mersing yang ditempatkan di Kampung Pangkalan Batu, Mersing hari ini.

Nahas dua bot Mersing: Polis siasat kecuaian, kendalian berbahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MERSING – Polis Johor menyiasat sejauh mana kepatuhan syarat lesen dan prosedur pengendalian standard (SOP) dipatuhi pengusaha bot selepas tragedi rempuhan dua bot penumpang di Kuala Sungai Mersing yang meragut dua nyawa, malam semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan juga turut merangkumi semakan sama ada kedua-dua pengusaha bot terbabit memiliki permit perkhidmatan yang sah serta mematuhi had waktu operasi perairan seperti ditetapkan.

“Selain daripada mangsa-mangsa yang terlibat yang masih hidup untuk membantu siasatan, banyak pihak yang akan kita dapatkan keterangan untuk membantu siasatan antaranya pasukan penyelamat, kemudian pasukan yang mula-mula sampai di tempat kejadian.

“Kemudian kita juga akan memohon Jabatan Kimia untuk membuat bantuan penyiasatan untuk mengesahkan impak kejadian ini. Kejadian masih terlalu awal, bagi peluang kepada pihak kami untuk melengkapkan siasatan. Kita juga melihat sama ada SOP ataupun peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh syarat lesen ini dipatuhi ataupun tidak. Saya tidak melihat dia punya syaratnya lagi dan saya tak boleh nak buatkan apa-apa kenyataan,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Pangkalan Batu di sini, hari ini.

Ab Rahaman berkata, pihak polis mendapat maklumat kejadian itu kira-kira pukul 8.15 malam yang mengorbankan pengendali bot Sea Queen berusia 38 tahun dan seorang penumpang lelaki berbangsa Cina berumur 32 tahun di lokasi kejadian.

​Katanya insiden berlaku kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Mersing itu melibatkan bot Sea Queen yang dalam perjalanan balik dari Pulau Besar dan bot Rawa Birds yang baru berlepas dari jeti menuju ke Pulau Rawa.

​”Tujuh lagi mangsa mengalami kecederaan dengan tiga daripadanya dirawat di Hospital Mersing, tiga dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), dan seorang lagi dikejarkan ke Hospital Pasir Gudang. Polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian serta Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu secara berbahaya dan laporan mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di