Kemunculan vape yang praktikal dan murah menarik minat orang ramai termasuk kanak-kanak dan remaja.

Vape ibarat ‘bom jangka’ orang muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman

Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia memandang serius perkembangan penggunaan vape yang semakin berleluasa di negara ini khusus­nya melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak.

Apa yang lebih membimbangkan adalah evolusi pantas produk vape yang menjadikannya semakin sukar dipantau, dikawal serta dirawat apabila berlaku keracunan dan penyalahgunaan.

Malaysia mengambil masa hampir sedekad untuk mewartakan undang-undang khusus me­ngawal vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok 2024 selepas produk ini mula mema­suki pasaran komersial tempatan.

Namun dalam tempoh tersebut, industri vape berkembang dengan sangat pantas sehingga jauh mendahului mekanisme kawalan yang dibangunkan.

Pada peringkat awal, vape diperkenalkan melalui sistem terbuka yang memerlukan pengguna menambah cecair isian semula sendiri.

Kemudian ia berevolusi kepada sistem tertutup atau pra-isian yang lebih mudah digunakan, sebelum muncul vape pakai buang yang lebih praktikal, murah dan mudah diakses oleh pelbagai la­pisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan remaja.

Bahkan reka bentuk vape yang kompak dan moden menarik minat pengguna baharu serta mengelirukan dan mudah disorok oleh pelajar sekolah. Perubahan ini tidak hanya berlaku pada peranti, malah turut melibatkan kan­dungan nikotin.

Peranti maut

Nikotin pada awalnya hadir dalam bentuk free-base yang mempunyai rasa lebih perit dan kurang selesa digunakan. Namun kini, ia telah berevolusi kepada bentuk garam nikotin (nicotine salt) yang lebih selesa dan mudah diterima walaupun oleh pengguna kali pertama.

Lebih membimbangkan, kemunculan nikotin sintetik menjadikan pengesanan serta jangkaan kesan toksiknya semakin rumit. Pada masa sama, vape kini tidak lagi sekadar digunakan untuk nikotin.

Peranti ini semakin jelas di­salahgunakan sebagai medium pengambilan dadah dan bahan terlarang. Pelbagai bahan digunakan secara silih berganti terma­suk dadah sintetik seperti kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate yang mempunyai kesan sangat kuat serta sering kali sukar dirawat menggunakan pendekatan klinikal biasa.

Realitinya, evolusi pantas vape menjadikan ia amat sukar dipantau dan dikawal. Keupayaan makmal untuk menyaring serta mengesahkan kehadiran bahan terlarang dalam vape juga masih terhad dan memerlukan kos yang tinggi.

Dalam keadaan bahan yang digunakan sentiasa berubah-ubah, usaha pengesanan menjadi semakin mencabar dan kadangkala tidak seiring dengan kepantasan perubahan pasaran gelap.

Bukti penyalahgunaan vape kini semakin ketara. Vape bukan sahaja membuka ruang kepada ketagihan nikotin, malah berpotensi menjadi pintu masuk kepada penggunaan dadah dalam kalangan anak muda.

Pendedahan awal nikotin kepada kanak-kanak dan remaja pula diketahui boleh memberi kesan terhadap perkembangan otak, daya pemikiran, keupayaan pembelajaran serta pembentukan tingkah laku mereka pada masa hadapan.

Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila penggunaan vape dalam kalangan remaja terus meningkat.

Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan prevalens penggunaan vape dalam kalangan remaja Malaysia meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.

Trend ini menunjukkan semakin ramai anak muda terdedah kepada nikotin dan berisiko terjerumus kepada ketagihan serta penyalahgunaan bahan pa­da usia yang lebih awal.

PRN juga ingin menjelaskan bahawa data kes keracunan berkaitan vape yang diterima tidak menggambarkan realiti sebenar situasi di Malaysia.
Data tersebut hanyalah berdasarkan panggilan yang dite­rima oleh PRN bagi tujuan mendapatkan maklumat pengurusan kes keracunan, bukannya pangkalan data nasional pelaporan kes vape.

Tanggungjawab semua

Oleh itu, angka yang wujud berkemungkinan hanya mewakili sebahagian kecil daripada keja­dian sebenar yang berlaku di lapangan. Situasi ini boleh diibaratkan seper­ti ‘bom jangka’ yang menunggu masa untuk mencetuskan impak kesihatan awam yang lebih besar.

Sehubungan itu, PRN menyo­kong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) serta gesaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempertimbangkan langkah pengharaman vape demi melin­dungi kesihatan dan keselamatan rakyat, khususnya generasi muda.

Walau bagaimanapun, sebarang pelaksanaan dasar pengharaman perlu disokong secara menyeluruh. Kerajaan perlu membantu agensi dan pihak berkaitan melalui pelaksanaan kempen kesedaran yang berterusan, program bina upaya, penyediaan perkhidmatan rawatan ketagihan nikotin yang mudah dicapai serta penguatkuasaan yang tegas dan konsisten.

Pada 11 Jun lalu, PDRM sekali lagi mengulangi pendirian agar peranti rokok elektronik atau vape wajar diharamkan sepenuh­nya susulan kemunculan dadah sintetik baharu, ‘Piu Piu’.

Ketegasan itu disuarakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memandangkan penggunaan peranti itu kini disalahgunakan secara meluas oleh sindiket pengedaran dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurut Ayob Khan, isu utama pada masa ini bukanlah sama ada vape itu merupakan satu peluang perniagaan untuk golongan tertentu atau tidak, tetapi di­salahgunakan secara berbahaya dengan dicampurkan dadah baharu atau bahan kimia psikoaktif.

Secara keseluruhannya, perhatian khusus perlu diberikan kepada kawalan penjualan vape terhadap kanak-kanak dan remaja. Kita tidak boleh terus membiarkan industri bergerak lebih pantas daripada dasar dan penguatkuasaan.

Jika gagal bertindak sekarang, negara mungkin berdepan ge­nerasi yang bukan sahaja ketagih nikotin, tetapi turut terdedah kepada perangkap dadah melalui peranti yang selama ini dianggap tidak berbahaya.

Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman merupakan Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di