PETALING JAYA – “Selamat pagi, salam 300 liter balik,” antara reaksi orang ramai selepas kuota Program Budi Madani RON95 (Budi95) kembali kepada 300 liter sebulan berkuat kuasa hari ini, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena amanat Hari Kebangsaan 2026 pada 30 Ogos lalu.
Beberapa pengguna mula berkongsi paparan aplikasi masing-masing di media sosial bagi menunjukkan perubahan kuota berkenaan.
Ada yang memuat naik tangkap layar menunjukkan jumlah kuota RON95 mereka kini kembali kepada 300 liter, selain meluahkan rasa lega dengan perubahan tersebut.
“Limit dah kembali ke 300 liter…Terima kasih PMX sebab sangat prihatin,” tulis Aiman.
“Salam 300L Geng RON95,” kata Vikness.
“Alhamdulillah. Budi Madani dah kembali 300 liter,” kata Awa Ley.
Terdahulu, program Budi95 diselaraskan sementara daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan mengembalikan kelayakan asas Budi95 dari 200 liter kepada 300 liter sebulan manakala lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel layak menerima Budi Diesel sehingga 400 liter sebulan. – KOSMO! ONLINE














