SHAH ALAM – Generasi belia di desa perlu mempunyai empat jati diri utama sebagai panduan untuk membina masa depan serta memberi nilai semula kepada masyarakat dan tempat asal mereka.
Ia merangkumi prinsip Pergi, Kuasai, Cipta dan Kembali sebagai kitaran dalam semangat jati diri golongan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jati diri itu membolehkan generasi belia desa tidak takut keluar daripada zon selesa serta menguasai teknologi, kemahiran dan bina kompetensi yang mempunyai nilai.
Katanya, golongan belia juga tidak seharusnya hanya menunggu peluang, sebaliknya perlu berani mencipta penyelesaian dan nilai baharu apabila berdepan sesuatu masalah.
“Akhirnya, walau di mana saudara berada suatu hari nanti, pulangkan sesuatu kepada tempat yang membesarkan saudara. Pulangkan ilmu, masa, jaringan dan peluang. Itulah semangat Desa DNA Kita. Kita boleh terbang jauh, kita boleh menjadi sesiapa sahaja, tetapi akar itu mesti terus ada dalam diri kita,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Belia Desa 2026 di sini, hari ini.
Beliau yang merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, median pendapatan isi rumah meningkat kepada RM4,588 pada 2024, manakala akses internet luar bandar pula telah mencapai 90.7 peratus pada tahun 2025.
Justeru katanya, ekonomi desa perlu terus berkembang dengan generasi belia perlu terlibat dalam sektor termasuk menjadi usahawan teknologi.
“Dalam ekosistem kementerian ini sahaja, kita mempunyai 281 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan 588 program kemahiran, dengan lebih 70,000 pelajar.
“Malah kebolehpasaran graduan sekitar 98.5 peratus dengan gaji minimum lulusan TVET sebanyak RM3,500,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika ditemui selepas majlis tersebut memaklumkan resolusi konvensyen akan disalurkan terus kepada Menteri Belia dan Sukan bagi pertimbangan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE














