LIMA suspek yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang ahli perniagaan disambung reman tujuh hari lagi.

Mayat diikat: 5 suspek bunuh ahli perniagaan disambung reman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan ahli perniagaan sebelum mayatnya dibuang ke dalam Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja di sini minggu lalu disambung reman sehingga Isnin ini.

Perintah reman terhadap lima suspek berusia 26 hingga 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini kesemua mereka direman selama tujuh hari berakhir hari ini sebelum dibawa semula ke mahkamah bagi proses sambung reman.

Dalam kejadian itu, mayat mangsa yang berusia 39 tahun dijumpai dalam keadaan terapung oleh penduduk kira-kira pukul 11.30 pagi, 3 Ogos lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dijerut pada bahagian leher menggunakan tali sebelum kedua-dua tangannya diikat dengan pita pelekat.

Jasad mangsa kemudian dipercayai dibalut dengan jaring dan dibawa ke lokasi berkenaan sebelum dicampakkan ke dalam sungai.

Lima bongkah batu turut ditemukan pada mayat mangsa yang digunakan untuk menenggelamkan jasad ahli perniagaan itu bagi mengelak ia timbul ke permukaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, misteri kehilangan mangsa sejak 29 Julai lalu akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemukan dalam keadaan mengerikan di sungai berkenaan.

Mangsa dilaporkan hilang di Mutiara Rini, Iskandar Puteri dan mayatnya dikenal pasti oleh waris terdekat berdasarkan pakaian serta barangan peribadi yang ditemukan bersama mayat.

Semakan mendapati dua daripada lima suspek tersebut memiliki rekod jenayah dan dadah. Polis turut merampas lima buah telefon bimbit. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan dan peranan setiap suspek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN