Gambar hiasan.

Suspek curi kabel ada 37 rekod jenayah, cuba langgar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian kejar-mengejar dengan polis selama kira-kira 30 minit sebelum beberapa das tembakan dilepaskan di sekitar Sungai Besi dan Sri Petaling semalam, dikenal pasti memiliki 37 rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan selepas kenderaan Ford Ranger dinaikinya hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta Mazda di Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling.

Katanya, kejadian bermula kira-kira pukul 9.30 pagi apabila anggota Polis Trafik Lebuh Raya Kesas Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan mengesan sebuah Ford Ranger berwarna hijau dalam keadaan mencurigakan.

“Polis kemudian memberi isyarat supaya kenderaan itu berhenti, namun suspek terus memecut sebelum kejadian kejar-mengejar dipercayai bermula dari Tol Awan Besar menghala ke Klang sehingga ke Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadil, suspek enggan memberikan kerjasama dan cuba melanggar anggota polis menyebabkan beberapa das tembakan dilepaskan.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan memandu kenderaan sehingga memasuki Jalan Hang Tuah 4 sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah Mazda berwarna kelabu,” katanya.

Katanya, seorang lelaki berusia 29 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi suspek melarikan diri dan kini sedang diburu polis.

Beliau menambah, pemeriksaan ke atas Ford Ranger itu turut menemukan pelbagai barangan dan peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel selain kabel yang telah dicuri.

“Semakan mendapati suspek yang ditangkap mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan turut dikesan sebagai orang dikehendaki,” katanya.

Tambahnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut dan polis akan memohon perintah reman terhadap suspek hari ini.

Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan selain Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN