Ahli kumpulan Doktor Jalanan turun ke jalan-jalan untuk merawat gelandangan di sekitar ibu kota.

Doktor Jalanan, bakti dari medan perang ke jalan-jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS sebulan dirawat di hospital, Musanif Jamal, 59, kembali hidup di jalanan meskipun menghidap diabetes dengan komplikasi.

Paras gula dalam darahnya sangat tinggi, selain mengalami diabetic foot ulcer dan luka di bahagian belakang badan akibat terlalu lama duduk di jalanan.

Namun, dia enggan ke hospital, manakala kehidupan yang tidak tetap menyukarkan pengambilan ubat secara konsisten.

Keadaan itu mencetuskan dilema buat Mejar (Dr) Ahmad Fairuz Ishak dan pasukannya yang berdepan persoalan bagaimana mahu merawat pesakit yang sukar mendapatkan rawatan secara berterusan.

“Sebagai doktor, kami tak boleh selesaikan masalah luka dia sahaja. Kami perlu rawat punca masalah, tetapi dia hidup di jalanan dan sukar untuk konsisten mengambil ubat.

“Kami carikan untuk dia satu ubat yang perlu dicucuk setiap minggu. Ubat itu sahaja menelan kos sekitar RM500 hingga RM700 setiap minggu, tidak termasuk kos mencuci luka.

“Kini, selepas hampir setahun, paras gula dia turun daripada 34 mmol/L, kemudian 12, 8 dan sekarang 6.9. Luka dia pun makin baik. Abang Mus merupakan antara pesakit yang membuktikan usaha kami berkesan,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Ahmad Fairuz merupakan antara individu yang mengasaskan kumpulan Doktor Jalanan dan kini mengetuai pasukan seramai 11 doktor itu dalam memberikan khidmat perubatan percuma kepada golongan yang sukar mendapatkan rawatan.

Bakti murni mereka dikagumi banyak pihak dan turut mendapat liputan di kaca televisyen.

ALIFARHAN (kiri) dan Ahmad Fairuz (belakang) selepas selesai merawat Musanif (depan).

Doktor Jalanan terdiri daripada bekas pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia yang pernah berkhidmat selama kira-kira 10 tahun sebelum memilih untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat dalam dunia awam.

Antara mereka ialah Mejar (Dr) Muhamad Qaiyum Ariff, Mejar (Dr) Muhammad Arif Shokkeri, Mejar (Dr) Adrian Balan Laing, Mej (Dr) Ariff Azali Azman, Mejar (Dr) Ahmad Fairuz Ishak, Mejar (Dr) Alifarhan Alimudin, Mejar (Dr) Muhammad Qusyairi Fadzillah, Mejar (Dr) Awangku Zulhilmi Awangku Ibrahim, Mejar (Dr) Lim Ming Kuang, Mej (Dr) Muhammad Rasul Zulkefli dan Mejar (Dr) Syed Danial Syed Jalil.

Mereka bermula sebagai rakan sekolah di Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Sungai Besi, Selangor, sebelum melanjutkan pengajian perubatan di Mesir dan Rusia menerusi biasiswa Kementerian Pertahanan.

Kemudian, mereka membawa haluan masing-masing dalam perkhidmatan sebelum ditugaskan di pelbagai kawasan operasi, termasuk misi Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lebanon, Mindanao di Filipina, Cox’s Bazar di Bangladesh dan Lahad Datu, Sabah.

Selepas kira-kira 10 tahun berkhidmat, mereka kembali bersama dalam dunia awam, kali ini untuk menggunakan pengalaman dan kemahiran perubatan bagi membantu golongan yang sukar mendapatkan rawatan.

Menurut Ahmad Fairuz, idea itu mula berkembang selepas mereka meninggalkan perkhidmatan tentera dan menyedari masih banyak ruang untuk doktor membantu di luar klinik dan hospital.

“Klinik pertama kami di Kajang mula beroperasi pada April 2025. Pada bulan yang sama, kami sudah mula pergi ke rumah anak-anak yatim dan pusat jagaan orang tua.

“Pada masa itu, kami juga bertemu kumpulan Food for Gelandangan (FFG) dan mendapati terdapat kelompongan dari segi sokongan perubatan serta kesihatan dalam kalangan golongan tersebut.

“Daripada situ, kami mula fikir bagaimana kami boleh gunakan kepakaran yang ada untuk membantu mereka. Sebab itu kami turun sendiri, bukan hanya tunggu mereka datang ke klinik,” katanya.

Kumpulan Doktor Jalanan dianggotai 11 doktor bekas pegawai tentera yang kini turut bersama-sama mengusahakan klinik.

Kumpulan Doktor Jalanan memulakan operasi mereka pada Julai 2025 dengan menumpukan tiga lokasi utama iaitu Chow Kit, Pudu dan Pasar Seni di ibu kota.

Mereka memulakan khidmat menyantuni setiap gelandangan dari pukul 10 malam hingga 12 tengah malam seminggu sekali sebagai salah satu usaha jariah mereka.

Setiap malam, mereka merawat sekurang-kurangnya 60 pesakit yang mengalami masalah seperti luka tidak dirawat, demam berpanjangan, cirit-birit dan diabetes, dengan kebanyakan mereka tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan secara biasa.

Pendekatan itu kemudian berkembang apabila Doktor Jalanan turut membuka kaunter rawatan tetap di Pusat Pembelajaran Chow Kit, yang beroperasi dari pukul 4 hingga 6 petang pada setiap Khamis.

Namun, cabaran terbesar bukan sekadar merawat penyakit, sebaliknya mendapatkan kepercayaan golongan berkenaan.

Bagi pasukan itu, empati penting untuk memahami keadaan mereka tanpa membuatkan pesakit berasa dikasihani.

Bahasa tubuh turut diberi perhatian, termasuk merendahkan kedudukan badan dan melakukan kontak mata ketika berkomunikasi.

Berkongsi mengenai perkara itu, Mejar (Dr) Alifarhan Alimudin berkata, pengalaman di jalanan amat berbeza ketika berkhidmat dalam tentera, sekali gus memberikannya perspektif baharu dalam usaha merawat ramai orang.

“Bayangkan kita yang ada rumah ni pun, boleh mengalami tekanan sekiranya sakit. Inikan mereka yang diuji dengan situasi yang tidak dapat kita bayangkan.

“Dalam usaha memahami situasi golongan ini, saya sendiri rasa saya menjadi doktor yang lebih baik sejak usaha Doktor Jalanan bermula.

“Saya mula faham bahawa manusia ini lebih kompleks dan ada banyak perkara yang mempengaruhi cerita mereka.

“Saya belajar untuk tidak cepat menghukum mana-mana pihak sepanjang mereka meluahkan isu mereka.

“Tumpuan lebih kepada memastikan mereka rasa dipeduli dan seterusnya mahu dirawat hingga sembuh,” katanya.

Selain daripada merawat, Doktor Jalanan turut memuat naik usaha mereka menerusi akaun TikTok sebagai usaha mengatasi stigma terhadap golongan gelandangan ini.

Kesannya, usaha tersebut turut mendapat sokongan rakyat Malaysia dan pihak farmasi yang menyumbangkan keperluan perubatan.

Pasukan itu tidak mengambil sumbangan dalam bentuk kewangan, sebaliknya lebih mengalu-alukan bantuan berupa keperluan perubatan bagi menyokong khidmat mereka.

Ubat-ubatan boleh disumbangkan di Klinik Khidmat 24 Jam di Kajang dan Setapak untuk disalurkan bagi menyokong usaha Doktor Jalanan berkenaan.

Orang awam juga dialu-alukan untuk bersama-sama turun membantu menjayakan usaha tersebut biarpun tidak memiliki kemahiran perubatan.

Ujar Alifarhan lagi, dia dan rakan-rakan tidak melihat usaha Doktor Jalanan sebagai sesuatu yang perlu menggantikan peranan pihak lain, sebaliknya mahu mengisi kelompongan yang masih ada dalam usaha membantu golongan rentan.

Katanya, meskipun ada yang menganggap perkongsian mereka di media sosial sekadar kandungan, pasukan itu berharap setiap perkongsian dapat membuka mata masyarakat dan menambah kepada usaha sedia ada dalam membantu golongan gelandangan.

“Bagi kami, kita bukan sekadar mahu membantu mereka untuk terus hidup sihat di jalanan, tetapi bersama-sama membantu mereka supaya suatu hari nanti mereka dapat keluar daripada keadaan itu dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak pihak kerana isu ini bukan sesuatu yang boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja.

“Kalau lebih ramai tampil dan memainkan peranan masing-masing, insya-Allah bantuan yang diberikan kepada golongan ini akan menjadi lebih holistik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di