KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa sepanjang persiapan dan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, persiapan dan sambutan berkenaan berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Menurutnya, Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan kawasan larangan penerbangan dron.
“Pihak polis ingin menegaskan bahawa Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah kawasan larangan menerbangkan dron.
“Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa semasa persiapan dan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar terhadap larangan berkenaan.
Katanya, tindakan boleh dikenakan selaras dengan Peraturan 143, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 serta Seksyen 206(3) peraturan sama.
“Orang ramai diminta mematuhi arahan dan larangan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang sambutan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














