Lagu-lagu patriotik berupaya membangkitkan semangat kemerdekaan, menyemai rasa cinta tanah air dan memperkukuhkan jati diri rakyat Malaysia.

Bolehkah AI membentuk jiwa lagu patriotik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap kali tibanya bulan Ogos, lagu-lagu patriotik kembali bergema di radio, televisyen dan media sosial. Ada yang terus menyanyi apabila terdengar bait lagu Tanggal 31 Ogos, Warisan atau Sejahtera Malaysia.

Lagu-lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi sebahagian daripada memori kolektif rakyat Malaysia sejak puluhan tahun.

Namun, dunia sudah banyak berubah. Hari ini, generasi muda tidak lagi menemui lagu baharu melalui radio atau kaset mahupun cakera padat (CD) seperti dahulu. Mereka lebih banyak menerima muzik baharu menerusi TikTok, Spotify, YouTube Shorts dan pelbagai platform penstriman.

Algoritma kini menjadi penentu lagu apa yang akan muncul di skrin telefon pintar mereka.

Persoalannya, adakah lagu patriotik masih mempunyai tempat di hati generasi baharu?

Lebih menarik lagi, mampukah kecerdasan buatan (AI) menghasilkan lagu patriotik yang benar-benar menyentuh jiwa? Hakikatnya, perhatian pengguna media sosial hari ini sangat singkat.

Dalam beberapa saat pertama, seseorang sudah membuat keputusan sama ada mahu terus mendengar atau menukar kepada kandungan lain.

Sebab itu kebanyakan lagu moden mempunyai pembukaan yang pantas, korus yang mudah diingati dan melodi yang terus ‘melekat’ di kepala pendengar.

Lagu yang lambat berkembang sering kali gagal menarik perhatian di platform digital.

Lagu patriotik juga tidak terkecuali. Jika mahu terus re­levan, ia perlu disusun mengikut cita rasa generasi hari ini tanpa mengorbankan mesej cintakan negara.

Ini tidak bermaksud lagu patriotik perlu meninggalkan identitinya.

Sebaliknya, ia perlu dipersembahkan dengan nafas baharu menggunakan rentak yang lebih segar, susunan muzik yang mudah didengar dan visual kreatif yang sesuai dikongsi di media sosial.

Pengalaman paling berharga

Kemunculan aplikasi AI se­perti Suno dan Udio memboleh­kan sesiapa sahaja menghasilkan lagu dalam masa beberapa minit. Dengan beberapa arahan ringkas, melodi, lirik dan vokal boleh dijana secara automatik. Teknologi ini sememangnya mengagumkan.

Namun, satu perkara yang masih belum mampu dihasilkan oleh AI ialah pengalaman hidup. Komposer menghasilkan karya berdasarkan perjalanan hidup, kenangan, kegembiraan, kesedihan dan semangat yang pernah mereka rasai.

AI pula hanya belajar daripada data yang diberikan kepada­nya. Sebab itu lagu patriotik yang benar-benar hebat biasanya lahir daripada detik-detik penting dalam sejarah negara.

Dr. Mohd Izwan Izhar Haris

Kita boleh melihat bagaimana tokoh muzik seperti Allahyarham Kassim Masdor, Allahyarham Ahmad CB, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) dan Allahyarham Ahmad Merican berjaya menghasilkan karya yang menterjemahkan semangat kemerdekaan, kecintaan terhadap tanah air serta identiti nasional melalui bahasa muzik.

Begitu juga sumbangan Maestro terkenal Datuk Johari Salleh yang memperkayakan khazanah muzik Malaysia menerusi karya-karya yang mengangkat nilai patriotisme, perpaduan dan jati diri bangsa.

Karya-karya mereka bukan sekadar komposisi muzik yang dapat menghiburkan, tetapi menjadi wadah yang merakam aspirasi rakyat serta membina memori kolektif sebuah negara yang sedang membentuk identi­tinya.

Mereka merakamkan sejarah dalam bentuk melodi. Inilah yang tidak mampu dicipta oleh mesin AI. Dalam masa yang sama, kekuatan sesebuah lagu patriotik juga tidak lahir daripada komposer semata-mata.

Di sebalik melodi yang indah, berdiri para penulis lirik yang menyulam kata-kata dengan jiwa dan pengalaman hidup. Tokoh Datuk Habsah Hassan, Syed Indera Syed Omar (SISO) telah membuktikan bahawa lirik yang lahir daripada keikhlasan mampu menyentuh hati, membangkitkan rasa cinta kepada negara dan membentuk kesedaran kebangsaan merentas generasi.

Setiap bait yang mereka hasilkan bukan sekadar pilihan kata yang indah, tetapi mengandungi falsafah, nilai kemanusiaan serta gambaran realiti masyarakat yang sukar diterjemahkan hanya melalui algoritma.

Oleh yang demikian, nasihat penulis, AI ini boleh dimanfaatkan seperti membantu memberi idea awal, mencadangkan susunan muzik atau mempercepatkan proses penghasilan lagu.

Namun, sentuhan akhir tetap memerlukan kreativiti dan pertimbangan manusia yang mempunyai nilai seni dan pengetahuan muzik yang tinggi.

Ramai beranggapan lagu patriotik hanya sesuai dimainkan sepanjang bulan kemerdekaan. Hakikatnya, persepsi ini perlu diubah. Hari ini, lagu patriotik boleh menjadi kandungan digital yang menarik jika dipersembahkan dengan pendekatan yang lebih moden.

Contohnya, lagu Negaraku yang diterbitkan sedekad yang lalu dan menampilkan Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Faizal Tahir berjaya membawa e­lemen hip-hop tanpa menghilangkan semangat cintakan negara.

Begitu juga lagu Gemuruh ciptaan Faizal Tahir turut membuktikan bahawa karya patriotik tidak semestinya berirama mars. Dengan sentuhan pop-rock, lagu tersebut menjadi lagu semangat yang masih dinyanyikan sehingga hari ini dalam pelbagai acara.

Semua ini membuktikan bahawa lagu patriotik boleh berubah mengikut zaman tanpa kehila­ngan roh asalnya.

Siapa penyambung legasi?

Satu lagi cabaran besar ialah kekurangan pelapis. Ramai komposer yang banyak menghasilkan lagu patriotik kini terdiri daripada generasi yang sudah lama berada dalam industri. Tidak ramai anak muda yang benar-benar mahu menumpukan perhatian kepada genre ini kerana mereka melihatnya kurang memberi pulangan komersial.

Persepsi itu sebenarnya perlu diperbetulkan. Menghasilkan lagu patriotik bukan sekadar mengejar royalti atau jumlah penstriman. Ia adalah satu bentuk sumbangan kepada negara.

Lagu yang baik mampu hidup selama puluhan tahun dan menjadi sebahagian daripada identiti sesebuah bangsa. Malaysia memerlukan lebih ramai komposer muda yang berani bereksperimen dengan pelbagai genre seperti pop, hip-hop, EDM dan etnik kontemporari, tetapi masih mengekalkan nilai perpaduan, kecintaan kepada tanah air serta menekankan kepada muzik yang beridentitikan Malaysia.

Begitu juga artis muda yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial. Mereka mampu menjadi ejen perpaduan melalui karya yang dekat dengan jiwa generasi baharu.

Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail yang juga merupakan komposer lagu patriotik terkenal tanah air pernah melahirkan kebimbangan mengenai masa depan industri lagu patriotik ini apabila mendedahkan bahawa negara kini berdepan dengan krisis kekurangan pelapis komposer lagu patriotik dan penulis lirik dalam kalangan ge­nerasi muda.

AI bukanlah musuh kepada industri muzik, sebaliknya, teknologi ini boleh menjadi pembantu yang mempercepatkan proses kreatif. Namun, AI tidak mempunyai kenangan tentang menyaksikan Jalur Gemilang berkibar.

AI tidak pernah merasai debaran menyanyikan lagu kebangsaan bersama ribuan rakyat. AI juga tidak memahami makna pengorbanan generasi terdahulu yang membina negara ini.

Semua pengalaman itulah yang menjadikan sesebuah lagu patriotik benar-benar hidup. Cabaran sebenar hari ini bukanlah sama ada AI mampu menghasilkan lagu yang lebih baik daripada manusia.

Persoalan yang lebih penting ialah sama ada kita masih mempunyai komposer yang memahami denyut nadi rakyat Malaysia. Teknologi mungkin boleh menghasilkan melodi dalam beberapa saat, tetapi hanya hati manusia mampu melahirkan karya yang terus dinyanyikan dari satu ge­nerasi ke satu generasi.

Selagi semangat cintakan negara terus hidup dalam diri rakyat Malaysia, lagu patriotik akan sentiasa mempunyai tempatnya. AI boleh membantu menghasilkan muzik, tetapi jiwa patriotisme tetap lahir daripada manusia.

Dr. Mohd Izwan Izhar Haris merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa & Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan & Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di