AIR merupakan antara sumber paling penting dalam kehidupan manusia yang digunakan setiap hari untuk minum, memasak, membersihkan diri, mencuci dan menjalankan pelbagai aktiviti harian.
Namun, di sebalik kegunaannya yang begitu dekat dengan rutin manusia, air kini turut memainkan peranan penting dalam perkembangan teknologi moden apabila digunakan sebagai medium untuk menyejukkan mesin dan pelayan di pusat data sistem kecerdasan buatan (AI).
Di sebalik keupayaan chatbot menjawab soalan dalam beberapa saat atau model AI menghasilkan imej dan video, terdapat rangkaian pusat data gergasi yang memerlukan bekalan elektrik serta air dalam jumlah besar untuk terus beroperasi.
Setiap pertanyaan kepada AI mungkin kelihatan ringan pada skrin telefon, tetapi di sebaliknya terdapat pusat data yang bekerja tanpa henti.
Dianggarkan setiap sesi interaksi dengan AI selama 30 minit memerlukan kira-kira 600 mililiter air bersamaan sebotol air mineral bersaiz standard.
Difahamkan operasi pusat data Malaysia dianggarkan memerlukan bekalan sekitar 70,000 liter air sehari bagi setiap satu megawatt kapasiti yang beroperasi.
Ribuan pelayan komputer yang menggunakan AI dalam tugasan harian menghasilkan haba yang tinggi dan perlu disejukkan secara berterusan.
Peningkatan penggunaan AI secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan terhadap tekanan ke atas sumber air terutama air di kawasan yang sering berdepan kemarau.
Sistem tiub terus ke cip (direct to chip) iaitu sistem paip kecil yang mengandungi air sejuk dialirkan terus ke atas plat logam (cold plate) yang melekat pada cip GPU AI.

Air menyerap haba panas daripada cip tersebut berubah kepada suam lalu mengalir keluar ke sistem takungan untuk disejukkan semula dalam gelung tertutup (closed loop).
Terdapat juga kaedah penyejukan rendaman (immersion cooling) apabila seluruh pelayan komputer AI direndam terus ke dalam tangki berisi cecair khas (cecair dielektrik yang tidak mengalirkan arus elektrik).
Lapor Knowable Magazine, persoalan tentang jumlah sebenar air digunakan oleh pusat data AI bukan mudah untuk dijawab kerana setiap penggunaan berbeza mengikut lokasi, reka bentuk pusat data, sistem penyejukan dan sumber tenaga elektrik yang digunakan.
“Syarikat teknologi juga tidak mendedahkan secara terperinci tentang data penggunaan air bagi setiap pusat operasi mereka bagi memelihara maklumat peribadi,” ujar media berkenaan.
Air lazim digunakan secara langsung di pusat data untuk menyejukkan pelayan yang menghasilkan haba tinggi.
Pada masa sama, air juga digunakan secara tidak langsung dalam proses menghasilkan tenaga elektrik bagi membekalkan kuasa kepada pusat data.
Proses melatih model bahasa besar memerlukan kuasa pemprosesan yang sangat tinggi, manakala penggunaan harian oleh jutaan pengguna pula menambah beban kepada pelayan.
Semakin banyak pertanyaan, imej atau kandungan digital dijana, semakin besar keperluan terhadap infrastruktur pengkomputeran di belakang tabir.
Membina pusat data di kawasan yang mempunyai bekalan air mencukupi mungkin memberikan kesan berbeza berbanding membinanya di persekitaran yang sering mengalami kekurangan air.
Keputusan mengenai lokasi, reka bentuk dan teknologi penyejukan menjadi faktor penting dalam menentukan sejauh mana operasi pusat data memberi tekanan terhadap komuniti serta alam sekitar.
Apa yang menjadi cabaran utama ialah mencari keseimbangan antara perkembangan teknologi dan kelestarian sumber agar tidak menjejaskan keselamatan serta kesihatan manusia. Kualiti juga perlu dijaga kerana mineral dalam air akan membentuk kerak (scaling) pada paip atau plat logam cip, manakala bakteria pula boleh menyebabkan kakisan (corrosion) sekali gus mengurangkan kecekapan proses penyejukan dan merosakkan pelayan.
Pencemaran alam sekitar akibat pelepasan air sisa juga menjadi salah satu cabaran utama dalam pengoperasian pusat data AI.
Bagi memastikan sistem penyejukan berfungsi dengan cekap dan bebas daripada gangguan, air yang dikitar semula di dalam saluran pelayan perlu dirawat menggunakan bahan kimia khas seperti biosid dan pencegah karat.
Bahan-bahan ini penting untuk menghalang pembiakan lumut, bakteria serta mengelakkan hakisan pada struktur paip besi.
Air yang sudah digunakan ini akhirnya akan dibuang sebagai sisa air berhaba tinggi yang sarat dengan kandungan kimia berbahaya.
Sekiranya air sisa ini dilepaskan terus ke sistem saliran tanpa dirawat dengan sempurna, ia bukan sahaja akan mencemarkan sumber air bersih, malah boleh merosakkan ekosistem akuatik secara serius.
Bagaimanapun, tidak semua pusat data menggunakan air dalam kadar sama kerana terdapat operator menggunakan sistem penyejukan berasaskan udara, teknologi yang kurang pergantungan terhadap air bersih atau mengitar semula air bagi tujuan tersebut.
Justeru memahami kesan penggunaan air ini penting agar kemajuan teknologi masa depan bukan sahaja menjadi lebih pintar, malah memulihara kelestarian alam semula jadi secara bertanggungjawab.














