KISAH gajah jantan bernama Sulong dipercayai sedang menempuh perjalanan dari Gerik, Perak pulang ke tempat asalnya di Chalil, Gua Musang, Kelantan mencuri perhatian orang ramai.
Beberapa rakaman video dikongsikan menerusi media sosial memperlihatkan haiwan itu berjalan sendirian di bahu Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Ramai rakyat Malaysia bersimpati dengan Sulong lebih-lebih lagi keadaan luka di kaki haiwan itu. Mereka turut berkongsi memaklumkan keberadaan gajah tersebut sekiranya terserempak di tepi jalan.
Difahamkan, Sulong berasal dari Chalil dan sebelum ini dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dari Gua Musang ke Gerik bagi mengelakkan konflik dengan penduduk termasuk gangguan terhadap tanaman.
Perhilitan juga mengeluarkan kenyataan bahawa pemantauan berterusan turut dilakukan termasuk mengambil tindakan menggiring gajah tersebut kembali masuk ke hutan, namun ia masih kembali ke jalan raya.
Situasi ini menimbulkan persoalan berhubung keberkesanan pemindahan gajah ke lokasi lain sebagai kaedah menangani konflik manusia dan hidupan liar.
Selepas ia dipindahkan, adakah habitat baharu itu sesuai untuknya? Tambahan lagi gajah sememangnya mempunyai ingatan kuat terhadap kawasan tempat tinggal lamanya.
Penyelesaian konflik antara manusia dan hidupan liar ini tidak seharusnya dilihat sekadar memindahkan haiwan itu ke habitat baharu semata-mata tetapi kebajikannya juga perlu diambil kira.
Apabila Sulong terus bergerak dan mahu ke tempat asal, sebagai manusia juga perlu lebih memahami habitat dan naluri haiwan tersebut sebelum ia dipindahkan ke tempat lain.
Ahli sosiologi, Dr. Norwaliza Abdul Wahab menerusi perkongsiannya berkata, gajah bukan sekadar haiwan besar dan kuat, malah mempunyai ingatan luar biasa serta mampu mengingati laluan, kawasan, sumber makanan dan tempat pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan.
“Walaupun sudah dihantar jauh, Sulong tetap cuba mencari jalan untuk kembali. Walaupun kaki luka, ia tetap melangkah agar dapat bersama dengan kawanannya semula.
“Ini mengingatkan kita bahawa apabila memindahkan hidupan liar, kita bukan sekadar memindahkan seekor haiwan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
“Kita sedang membawa keluar seekor makhluk daripada habitat, laluan dan dunia yang sudah dikenali gajah itu.
“Dalam proses pemindahan, pengendalian mesti dibuat dengan penuh berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata, mengendalikan gajah jantan bukan perkara mudah, malah saiz dan kekuatannya adalah luar biasa.
“Apabila kita nampak seekor gajah cedera selepas dipindahkan, jangan hanya melihatnya sebagai luka biasa. Tanya juga apa yang berlaku sebelum itu.
“Bagaimana ia ditangkap? Bagaimana ia diikat? Berapa lama ia diikat? Bagaimana keadaan ikatan dipantau? Dan apakah prosedur kebajikan haiwan yang digunakan sepanjang proses pemindahan?” katanya.














