NURUL NATRAH bergambar bersama penaung SAY Lead, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Wanita Autistik ungguli Liga Usahawan OKU Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Golongan orang kelainan upaya (OKU) terus membuktikan keupayaan menyumbang kepada ekonomi menerusi bidang keusahawanan apabila Nurul Natrah binti Aziz @ Awang dinobatkan sebagai juara Liga Usahawan OKU Selangor (SAY Lead) edisi ketujuh.

Nurul Natrah, yang merupakan usahawan OKU Autistik dan ADHD (gangguan hiperaktif dan masalah tumpuan) serta pengasas Gembur Education, muncul pemenang pada pusingan akhir program yang berlangsung di Sunway Resort Hotel semalam.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga penaung SAY Lead telah mencemar duli menyempurnakan program tersebut.

Tempat kedua pula dimenangi Mohd Kamal Surin Abdullah, pengasas Nyaman Juice, manakala Farah Hana Faizul dan Fatnin Qistina Firdus, pengasas Loomsydoo Studio, masing-masing menduduki tempat ketiga.

Pusingan akhir itu mempertemukan 10 usahawan OKU terbaik yang dipilih daripada 20 penyertaan pada peringkat awal program.

Para peserta menjalani beberapa siri kursus dan bimbingan perniagaan sejak Mei lalu, meliputi pengurusan kewangan, pembinaan platform digital, pengurusan perniagaan, strategi menjana pendapatan di karnival serta lawatan industri dan sesi perkongsian alumni.

Program itu bertujuan meningkatkan keupayaan usahawan OKU melalui latihan dan bimbingan berstruktur, selain membantu mereka mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing dalam sektor ekonomi.

Lima pemenang utama SAY Lead edisi ketujuh turut layak menyertai SAY Lead+, iaitu program bimbingan selama enam bulan yang memberi tumpuan kepada peluasan pasaran, digitalisasi perniagaan dan akses kepada peluang niaga.

Inisiatif berkenaan turut membuka ruang kepada usahawan OKU untuk mengukuhkan operasi perniagaan dan memperluas penyertaan golongan tersebut dalam aktiviti ekonomi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di