PETALING JAYA – Golongan yang berusia 16 tahun ke bawah didapati masih boleh mendaftar akaun media sosial dengan hanya memalsukan tahun kelahiran mereka kerana tiada pengesahan identiti diwajibkan setakat ini.
Individu dalam golongan itu sepatutnya tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial bermula 1 Jun lalu, dengan penyedia perkhidmatan diwajibkan melaksanakan pengesahan umur melalui MyKad atau pasport.
Hasil cubaan wartawan Kosmo! mendaftar akaun baharu Facebook mendapati, platform itu akan menyekat pendaftaran bagi pengguna yang meletakkan umur di bawah 16 tahun, namun akaun masih boleh didaftarkan jika mereka memalsukan tahun kelahiran.
Ketika wartawan Kosmo! membuat pendaftaran akaun media sosial, tiada sebarang pengesahan identiti diminta menggunakan MyKad atau pasport.
Pendaftaran akaun media sosial lain seperti Instagram dan TikTok juga dilihat tidak banyak ‘songeh’ apabila pengguna hanya perlu meletakkan alamat emel atau nombor telefon bagi pengesahan kod sebelum boleh menggunakan akaun itu.
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang enggan dikenali berkata, dia baru sahaja mendaftar akaun media sosial bulan ini.
Katanya, dia memberikan maklumat palsu mengenai umur bagi membolehkan akaun media sosial dibuka.
“Tiada pengesahan identiti setakat ini,” katanya.
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pula memberitahu, dia mempunyai akaun Instagram dan TikTok sejak tingkatan satu dan masih lagi boleh digunakan sehingga kini.
“Sebelum ini saya daftar dengan cara menipu tahun kelahiran, tiada masalah untuk mendaftar. Konten saya dalam Instagram dan TikTok pun lebih kepada aktiviti sukan sahaja.
“Ketika ini pun masih tiada pengesahan identiti diperlukan termasuk penggunaan MyKad,” katanya.
Dalam pada itu, seorang wanita yang dikenali Salimah berkata, dia mempunyai adik berusia 12 tahun yang mempunyai akaun TikTok sejak 2023 dengan pendaftaran maklumat sebelum ini menggunakan emel ibu mereka yang berusia 54 tahun.
Katanya, ibu bapanya bukan merupakan golongan celik teknologi maklumat (IT) dan akaun TikTok itu didaftarkan sendiri oleh adik lelakinya ketika berusia sembilan tahun dengan kebanyakan konten dimuat naik berhubung permainan video.
“Adik saya guna emel dan umur ibu untuk buka akaun TikTok. Akaun pula guna nama pilihan dia dan semua hantaran dia yang buat. Dia buka TikTok guna telefon bimbit.
“Orang tua masih ramai yang buta IT. Ibu ayah memang tak tahu apa, emel pun tidak pernah buka. Kalau balik kampung, saya akan pantau termasuk periksa WhatsApp adik dengan kawan-kawan bagi mengetahui aktivitinya.
“Konten dia di TikTok lebih kepada game (permainan video). Setakat ini, memang tak ada terima apa pengesahan usia gunakan MyKad seperti dilaporkan dalam berita,” katanya kepada Kosmo!.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, penyedia perkhidmatan media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan usia menggunakan MyKad atau pasport bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun dalam platform itu.
Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen baru-baru ini memaklumkan, langkah itu dilaksanakan di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.
Menerusi kaedah itu, ia bukan sahaja menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun secara bebas, malah mampu mewujudkan ekosistem media sosial yang lebih selamat untuk mereka.
Bagi memastikan pematuhan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memantau pelaksanaan CPC oleh Pemberi Perkhidmatan Berlesen.
MCMC juga telah mengeluarkan notis bertulis di bawah subseksyen 30(2) Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) kepada penyedia perkhidmatan media sosial bagi mendapatkan penjelasan berhubung ketidakpatuhan dan langkah pelaksanaan mekanisme pengesahan usia.
Di bawah Akta 866, Pemberi Perkhidmatan Berlesen yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta serta denda tambahan RM100,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan.
Selain itu, MCMC boleh mengeluarkan Notis Ketidakpatuhan dan mengenakan penalti kewangan hingga RM10 juta mengikut peruntukan akta itu.














