Penjawat awam perlu meningkatkan pengetahuan IT untuk mengelakkan daripada ketinggalan. - Gambar AI

Jangan ‘jealous’ orang bawah lagi pandai IT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEENGGANAN penjawat awam mempelajari teknologi baharu bukan sekadar kelemahan individu, malah boleh menjadi ancaman kepada keberkesanan keseluruhan perkhidmatan awam.

Penguasaan teknologi ketika ini bukan lagi dianggap sebagai nilai tambahan, sebaliknya menjadi antara prasyarat utama dalam menentukan kecekapan dan keberkesanan jentera kerajaan.

Malah, tahap Kecerdasan Digital atau Digital Intelligence Quotient (DQ) yang rendah bukan sahaja boleh menjejaskan produktiviti kerja, bahkan memberi kesan terhadap integriti organisasi serta keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan.

Dalam era pentadbiran yang semakin dipacu teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), kemampuan penjawat awam untuk beradaptasi, memahami keselamatan siber dan mengurus data secara strategik dilihat semakin penting.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Cawangan Negeri Sembilan, Dr. Raja Mayang Delima Mohd. Beta berkata, keengganan meningkatkan kemahiran digital tidak boleh dipandang ringan.

Menurut Raja Mayang, kecerdasan digital bukan sekadar kebolehan mengendalikan komputer atau sistem elektronik, malah merangkumi kemampuan memahami keselamatan siber, menganalisis data secara strategik serta beradaptasi terhadap perubahan teknologi secara beretika dan profesional.

“Dalam era automasi dan data raya, keengganan untuk belajar bukan sekadar kelemahan individu, tetapi juga ancaman kepada keberkesanan keseluruhan perkhidmatan awam.

“Pegawai yang mempunyai tahap DQ tinggi pula mampu menterjemahkan penggunaan teknologi kepada peningkatan prestasi dan kecekapan organisasi secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kecerdasan digital turut mempunyai kaitan rapat dengan aspek integriti dan akauntabiliti seseorang penjawat awam.

“Pengurusan data yang lemah atau kealpaan dalam menjaga keselamatan sistem boleh mengundang ancaman siber dan kebocoran maklumat rasmi.

“Setiap pegawai awam bertanggungjawab menjaga keselamatan maklumat jabatan sebagai satu bentuk integriti profesional,” katanya.

Menurutnya, kejujuran digital bukan sekadar bermaksud tidak menyeleweng data, malah memastikan setiap urusan pentadbiran dilaksanakan secara beretika, telus dan bertanggungjawab.

Pada masa sama, Raja Mayang berkata, seorang pegawai berwibawa tidak seharusnya berasa tergugat sekiranya anggota bawahan mempunyai kemahiran teknologi yang lebih tinggi.

“Sebaliknya, keadaan itu perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh pasukan dengan memberi pengiktirafan kepada kepakaran dalaman.

“Mereka juga wajar melantik anggota sebagai jurulatih atau peneraju projek digital serta menggalakkan budaya pembelajaran berterusan,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan yang inklusif dan berjiwa besar mampu membentuk organisasi berasaskan saling menghormati serta perkongsian ilmu.

Jelasnya, kemajuan teknologi juga tidak akan membawa makna sekiranya tidak disertai nilai kemanusiaan, kejujuran dan keterbukaan untuk terus belajar.

“Pegawai yang cerdas digital, beretika dan berjiwa besar mampu menjadi pemangkin kepada perubahan budaya kerja yang progresif.

“Mereka melihat kepakaran bawahan sebagai kekuatan kolektif dan bukannya ancaman kepada kedudukan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di