Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli (lima dari kiri) pada majlis pelancaran program AZAM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

AIS sasar tambahan dana zakat RM3.45 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Alliance Islamic Bank (AIS) mengunjurkan tambahan dana zakat sebanyak RM3.45 juta menjelang Mac 2027 untuk Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM).

Melalui peruntukan tersebut, program pembiayaan yang telah dilancarkan sejak tahun 2023, dijangka dapat mengagihkan pembiayaan kepada kira-kira 690 usahawan asnaf.

Sehingga kini, AIS telah menyalurkan sebanyak RM975,000 dalam dana zakat wakalah ke program AZAM, dengan sasaran sumbangan dana zakat sebanyak RM3.45 juta.

Sehubungan itu, jumlah ke­seluruhan dana bagi AZAM dijangka meningkat kepada RM4.425 juta.

AZAM adalah program pembiayaan mikro berasaskan zakat yang menyediakan pembiayaan perniagaan tanpa caj keuntungan kepada usahawan asnaf.

Ia turut disertai latihan dan bimbingan bagi membantu mereka membina perniagaan dan menjana pendapatan sendiri.

Dana yang dibayar balik oleh peserta akan disalurkan semula kepada usahawan asnaf yang lain, membolehkan dana zakat dimanfaatkan secara berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif ­AIS, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, AZAM telah membuktikan bahawa zakat produktif boleh menghasilkan perubahan yang nyata dan boleh diukur.

“Sehingga kini sebanyak 25 penerima AZAM telah berjaya keluar daripada status asnaf fakir miskin.

“Pencapaian ini memberi keyakinan bahawa pendekatan ini boleh diperluaskan kepada lebih ramai usahawan asnaf.

“Pada masa yang sama, pembayar zakat mahu mengetahui bagaimana sumbangan mereka diuruskan dan hasil yang dicapai.

“Melalui AZAM, mereka dapat melihat hasil tersebut melalui laporan impak yang telus.

“Oleh itu, kami berharap lebih ramai individu dan syarikat akan bersama kami memperluaskan manfaat ini kepada lebih ramai usahawan asnaf,” katanya dalam kenyataan.

AIS adalah bank Islam pertama di Malaysia yang mempraktikkan struktur dana pusingan bagi agihan zakat.

Hasil kajian menunjukkan AZAM telah menghasilkan perubahan yang nyata dan boleh diukur dalam kehidupan penerima, antaranya sebanyak 55 peratus peserta melaporkan perniagaan mereka lebih stabil berbanding sebelumnya.

Selain itu, empat daripada setiap 10 peserta mencapai tahap kestabilan kewangan yang lebih baik, termasuk keupayaan mengurus keperluan harian dan hutang serta meningkatkan simpanan.

Hasil kajian itu juga membuktikan bahawa sebanyak 35 peratus peserta menyatakan anak-anak mereka mula me­nunjukkan minat terhadap perniagaan ke­luarga dan 24 peratus peserta melaporkan hubungan keke­luargaan yang lebih harmoni, hasil daripada pengurangan tekanan kewangan dan peningkatan kesejahte­raan isi rumah.

Setiap RM1 yang disalurkan kepada AZAM menghasilkan pulangan nilai sosial sebanyak RM6.10.

Hasil ini telah disahkan oleh Social Value Malaysia, organisasi peneraju dalam pengukuran dan pengurusan nilai serta impak sosial, menerusi kajian Social Return on Investment (SROI) yang dijalankan terhadap AZAM.

“Berdasarkan hasil yang te­lah dicapai, AIS kini menjemput muzakki di Selangor untuk menyalurkan zakat wakalah mereka melalui AZAM bagi membo­lehkan lebih ramai usahawan asnaf menerima pembiayaan, latihan dan bimbingan untuk membina dan mengembangkan perniagaan mereka.

Melalui AZAM, penyumbang dapat menyalurkan zakat wakalah kepada inisiatif yang te­lah menunjukkan hasil yang boleh diukur serta melihat bagaimana sumbangan mereka dimanfaatkan melalui laporan impak program. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN