PELAKON Tiz Zaqyah naik geram dan muak dengan sikap khalayak yang mempersoalkan perubahan fizikalnya yang kini kembali ramping seperti zaman awal kemunculannya dahulu.

‘Susah cari baju, hilang job sebab dianggap gemuk, tembam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Tiz Zaqyah meluat dengan sikap segelintir pihak yang mempersoalkan perubahan fizikalnya selepas berjaya menurunkan berat badan sehingga kembali berwajah runcing dan mendapatkan semula bentuk tubuh lebih langsing.

Ujar Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 38, perubahan tersebut dicapai menerusi usaha keras demi mendapatkan semula bentuk rahang dan tulang pipi selain membuatkan dirinya lebih selesa setiap kali hendak menggayakan sebarang jenis busana.

“Ramai pula terganggu melihat penurunan berat badan saya. Saya bekerja keras untuk mendapatkan semula bentuk rahang dan tulang pipi.

“Sekarang saya sudah boleh memakai semula semua seluar dan pakaian bersaiz XS hingga S.

“Dahulu saya tidak pernah selesa melihat diri sendiri kelihatan bulat seperti bulan apabila menonton semula drama lama,” katanya dalam Threads.

Tambah bintang filem Khawarij itu, perubahan bentuk tubuh turut memberi kesan terhadap urusan kerjayanya apabila pernah berdepan kesukaran mendapatkan kostum atau pakaian sesuai ketika berada di lokasi penggambaran.

Pelakon Nur Kasih itu bahkan turut mendakwa pernah kehilangan beberapa tawaran kerja termasuk peluang lakonan serta kerjasama jenama gara-gara penampilannya sebelum ini dianggap tidak menepati kehendak tertentu.

“Ketika penggambaran, saya selalu berdepan kesukaran mencari pakaian yang muat. Pernah sekali zip skirt saya pecah ketika memakai pakaian tajaan.

“Mujurlah penerbit memahami keadaan dan mengatakan tidak mengapa. Akhirnya, saya kembali mempunyai bentuk pinggang seperti dahulu. Jadi, komen-komen sebegini memang agak menjengkelkan.

“Jangan lupa, saya pernah kehilangan banyak tawaran iklan dan kerja lakonan kerana dianggap ‘gemuk’, ‘tidak kurus’, ‘tembam’ dan tidak cantik di hadapan kamera,” luahnya.

Sebelum ini, perubahan fizikal Tiz selepas menurunkan berat badan turut menjadi perhatian apabila netizen berpendapat pelakon berkenaan lebih sesuai dengan bentuk tubuhnya sebelum ini.

Tidak kurang juga ada menyuarakan rasa lebih selesa melihat penampilan Tiz ketika tubuhnya lebih berisi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di