USM

USM kini kelompok 350 universiti terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) melonjak ke kelompok 350 universiti terbaik dunia apabila menduduki tangga 326 hingga 350 dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027.

Pencapaian itu menyaksikan USM berada dalam kelompok kira-kira 15 peratus teratas daripada 2,297 universiti yang disenaraikan dalam penarafan berkenaan di seluruh dunia.

Lebih membanggakan, kedudukan itu meneruskan trend peningkatan USM di persada antarabangsa selepas berada dalam kelompok 601 hingga 800 dari 2020 hingga 2023 sebelum meningkat ke kelompok 401 hingga 500 bagi tempoh 2024 hingga 2026.

USM menerusi kenyataan berkata, pencapaian terbaharu itu turut didorong peningkatan skor dalam kesemua lima komponen penilaian THE.

“Komponen Pengantarabangsaan kekal menjadi kekuatan utama USM apabila mencatat skor 80.4, meningkat daripada 76.5 dalam edisi sebelumnya.

“Prestasi itu mencerminkan dimensi antarabangsa universiti menerusi penglibatan pelajar dan staf antarabangsa serta jaringan penyelidikan bersama rakan akademik dari pelbagai negara.,” katanya di sini.

Sementara itu, komponen Industri mencatat peningkatan terbesar apabila skor melonjak 10.6 mata kepada 75.1.

Peningkatan berkenaan memperkukuh kedudukan pemindahan ilmu sebagai antara kekuatan USM dalam menghubungkan hasil penyelidikan dengan inovasi dan pembangunan teknologi.

Komponen Kualiti Penyelidikan pula mencatat skor 66.2, sekali gus terus menjadi antara asas penting kepada pencapaian universiti berkenaan di peringkat global.

USM berkata, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar pencapaian dalam penarafan global, sebaliknya membawa tanggungjawab untuk memastikan kecemerlangan akademik terus memberi manfaat kepada masyarakat.

“Universiti itu akan terus memberi tumpuan kepada pendidikan dalam membangunkan bakat serta penyelidikan yang mampu membantu menangani cabaran di peringkat negara dan dunia.

“USM turut merakamkan penghargaan kepada warga akademik, penyelidik, staf, pelajar serta rakan kerjasama industri dan komuniti yang menyumbang kepada pencapaian berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di