PUTRAJAYA – Tiada kata dapat digambarkan dan tiada rasa dapat diungkap apabila menyaksikan betapa sedih serta hibanya perasaan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menziarahi pusara isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali di Pusara Negara, sebentar tadi.
Bekas Perdana Menteri itu kelihatan amat sugul dan sebak sepanjang berada di sisi pusara insan yang pernah menjadi teman hidupnya selama 70 tahun itu.
Dengan wajah yang jelas menahan emosi, Dr. Mahathir beberapa ketika sempat memandang pusara Allahyarham sebelum menundukkan kepala dan menghadiahkan doa.Walaupun cuba menguatkan diri, riak wajah beliau jelas memperlihatkan kesedihan yang sukar disembunyikan, sekali gus menyentuh hati kira-kira 100 hadirin yang berada di lokasi.
Suasana hening di Pusara Negara turut menambahkan rasa pilu apabila kelihatan Dr. Mahathir menangis dan mengalirkan air mata sebelum ditenangkan ahli keluarga terdekat.

Dr. Mahathir sebelum itu meluangkan masa kira-kira 15 minit menziarahi pusara Dr Hasmah ditemani menantu dan cucunya serta ahli keluarganya yang lain.
Beliau tiba kira-kira pukul 11.05 pagi sebelum beredar 15 minit kemudian dipercayai kembali semula ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur bagi meneruskan rawatan.
Difahamkan, Tun Dr. Mahathir kini sedang dirawat di IJN dan beliau dimasukkan ke pusat rawatan semalam.
Turut kelihatan menziarahi pusara Allahyarham termasuk Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin; penyanyi lagenda, Datuk Ramli Sarip dan bekas jaguh badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei.
Lebih 100 orang hadir menziarahi pusara Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah hari ini.
Allahyarham Tun Dr. Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara Isnin lalu.
Tun Dr. Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak. – KOSMO! ONLINE














