Oleh Prof. Madya Dr. Aneesa Abdul Rashid
SAMBUTAN Hari Jantung Sedunia pada 29 September lalu menerusi kempen ‘Don’t Miss a Beat’ bertujuan mengingatkan kita bahawa penyakit jantung boleh bersembunyi di sebalik tubuh sihat.
Kempen World Heart Federation (WHF) itu menekankan tiga pilar utama iaitu kepekaan mengesan simptom awal, kecekalan mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten serta pengukuhan sistem kesihatan kebangsaan.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2025, penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini dengan menyumbang sebanyak 13 peratus daripada keseluruhan kematian.
Lebih menyayat hati, Laporan Pendaftaran Sindrom Koronari Akut National Cardiovascular Disease Database (NCVD-ACS) 2020-2021 mendedahkan, pesakit yang mengalami serangan jantung di Malaysia secara puratanya berusia agak muda iaitu 58.5 tahun semasa dimasukkan ke hospital.
Malah, dapatan laporan tersebut merekodkan bahawa kira-kira satu perempat daripada keseluruhan pesakit (25.6 peratus) terdiri daripada individu berusia di bawah 50 tahun.
Statistik ini memperlihatkan secara jelas bahawa penyakit kardiovaskular tidak lagi terhad kepada warga emas, sebaliknya sedang membunuh golongan dewasa muda yang berada di kemuncak usia produktif.

Persepsi salah yang sering memudaratkan masyarakat adalah tanggapan bahawa ketiadaan rasa sakit menandakan tubuh badan berada dalam keadaan sempurna.
Hakikat sebenar yang diketengahkan menerusi National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 membuktikan bahawa faktor risiko atau sindrom metabolik dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada paras amat kritikal.
Sejumlah 54.4 peratus populasi dewasa di negara kita kini dikategorikan sebagai mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti mengikut data statistik NHMS 2023.
Dapatan statistik NHMS 2023 turut merekodkan bahawa 33.3 peratus rakyat Malaysia mempunyai paras kolesterol yang tinggi (dislipidemia), manakala 29.1 peratus lagi menghidap masalah tekanan darah tinggi.
Di samping itu, rekod NHMS 2023 menunjukkan bahawa sebanyak 15.6 peratus orang dewasa hidup bersama penyakit kencing manis yang bertindak merosakkan struktur saluran darah serta otot jantung secara senyap dari semasa ke semasa.
Kegagalan membendung faktor risiko itu secara berterusan akhirnya mengundang komplikasi serangan jantung secara mengejut hingga menjejaskan kualiti hidup pesakit dan keluarga.
Berikut adalah enam langkah mudah dan berkesan yang boleh dilakukan untuk memelihara kesihatan jantung.
Pertama, amalkan gizi pemakanan sihat yang kurang garam, rendah gula serta rendah kolesterol.
Kedua, kekalkan pergerakan fizikal dengan melakukan senaman secara berdisiplin selama 30 minit sebanyak lima kali seminggu.
Ketiga, lakukan saringan kesihatan berkala untuk tekanan darah, paras gula, dan profil kolesterol di klinik berhampiran sebaik sahaja melangkah ke usia 30 tahun ke atas.
Keempat, bagi pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi, kencing manis, dan masalah kolesterol, pastikan anda mematuhi pengambilan ubat-ubatan secara berdisiplin, menjalani rawatan susulan, membina sokongan sosial serta memperkasakan pengurusan kendiri menerusi pemantauan di rumah.
Kelima, utamakan penjagaan kesihatan mental dan emosi secara berterusan kerana perbincangan mengenai jantung secara lumrahnya berkait rapat dengan perasaan, jiwa dan emosi kita.
Keenam, tingkatkan kemahiran Bantuan Hayat Asas (Basic Life Support – BLS) seperti Resusitasi Kardiopulmonari (CPR).
Tindakan CPR yang pantas dan tepat dapat mengekalkan aliran darah serta oksigen di dalam badan, sekali gus melipatgandakan peluang kelangsungan hidup mangsa henti jantung, sementara menunggu bantuan perubatan tiba.














