Abdul Hadi ketika menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang hari ini.

PRN Melaka: Kerjasama BN atau tidak, PN tetap mahu kalahkan PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARANG – Rundingan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masih rancak berjalan menjelang mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Rabu depan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan itu bukan sahaja melibatkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) malah penggunaan logo parti-parti bertanding.

Beliau berkata, disebabkan logo PN mungkin tidak dibenar digunakan dalam PRN Melaka ekoran isu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), cadangan penggunaan logo BN atau Pas sendiri termasuk dalam agenda rundingan berkenaan.

“(Tarikh penamaan calon dan hari mengundi) PRN Melaka masih belum umum. (PN dan BN) masih dalam perundingan.

“Yang penting, pimpinan Melayu Islam pimpin Melaka. Kita tolak Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila, di sini hari ini.

Abdul Hadi optimis tidak akan timbul masalah dalam pembahagian kerusi sekiranya kerjasama PN dan BN dalam PRN Melaka berjaya direalisasikan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas tetap istiqamah dengan misi untuk mengalahkan PH dalam PRN Melaka biar akhirnya nanti rundingan kerjasama antara PN dan BN menemui jalan buntu.

“BN kalau pilih PH (kerjasama dalam PRN Melaka), itu atas dia. Kita tetap usahakan supaya PH kalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di