Mimifly memang besar di AIM25 baru-baru ini.

Menang dulu, baru iktiraf?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIMA trofi menjadi milik Mimi Fly pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25). Selepas 18 tahun dalam industri, kemenangan itu tentu bukan sesuatu yang kecil. Tetapi di sebalik lima trofi tersebut, ada persoalan lebih besar; adakah kita benar-benar menghargai karya, atau hanya mula menghargainya selepas ia terbukti berjaya?

Kita hidup dalam zaman yang terlalu mudah mengira kejayaan. Berapa banyak tontonan? Berapa juta penstriman? Berapa ramai pengikut? Masuk carta atau tidak? Semua itu penting, tetapi angka tidak pernah menceritakan keseluruhan perjalanan seorang artis.

Lagu yang tular hari ini belum tentu kita ingat beberapa tahun lagi. Ada pula karya yang mengambil masa untuk diterima. Masalahnya, apabila trend menjadi ukuran utama, artis juga mudah terdorong menghasilkan apa yang sudah terbukti mendapat perhatian.

Akhirnya, semua mengejar formula yang sama. Bunyi yang sama, gaya yang sama, malah cara memasarkan karya pun hampir serupa. Kemudian kita tertanya-tanya mengapa semakin sukar menemukan sesuatu yang benar-benar berbeza.

Artis sebenarnya perlu ruang untuk mencuba. Ada yang gagal, ada yang tidak mendapat sambutan dan ada yang hanya dihargai selepas beberapa ketika. Tetapi tanpa keberanian mengambil risiko, kita hanya akan mengulang apa yang sudah berjaya.

Begitu juga dengan soal relevan. Kita terlalu cepat menganggap artis sudah tidak relevan hanya kerana usia meningkat, pengikut berkurangan atau lagu mereka tidak lagi tular. Seolah-olah perjalanan seni mesti sentiasa mengikut rentak carta dan media sosial.

Mimi Fly sendiri pernah melalui fasa apabila relevannya dipersoalkan kerana usia. Namun selepas 18 tahun dalam industri, lima trofi AIM25 menjadi jawapan bahawa seorang artis tidak semestinya kehilangan nilai hanya kerana tidak lagi berada di tengah-tengah trend.

Pengalaman juga ada nilainya. Begitu juga identiti dan keberanian untuk terus mencuba. Semua itu mungkin tidak kelihatan dalam jumlah tontonan tetapi bukan bermakna tidak penting.

Sebab itu kemenangan Mimi wajar dilihat lebih daripada kejayaan seorang artis. Ia mengingatkan kita bahawa industri muzik juga memerlukan kepelbagaian. Kalau semua orang dipaksa mengikut formula yang sama, jangan hairan kalau akhirnya muzik kita kedengaran semakin serupa.

Tidak dinafikan anugerah penting. Ia mengiktiraf kerja keras dan pencapaian tetapi artis tidak tiba-tiba menjadi bernilai apabila trofi berada di tangannya. Begitu juga karya tidak sepatutnya hanya diberi perhatian selepas angkanya melonjak.

Ironinya, kita sering mula bercakap tentang identiti seorang artis selepas dia menang. Sebelum itu, ketika dia bereksperimen, mencari arah dan mengambil risiko, berapa ramai yang benar-benar memberi ruang?

Mungkin itu makna yang lebih besar di sebalik lima trofi Mimi Fly. Jangan tunggu seseorang menang untuk mula menghargai karya mereka. Jika kita hanya percaya selepas angka membuktikan kejayaan, kita mungkin bukan sedang mencari karya yang baik — kita cuma sedang menunggu bukti untuk mempercayainya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di