PONTIAN – Sebanyak 12 helai Warkah Pemasyhuran atau Proklamasi Kemerdekaan dalam pelbagai bahasa yang dibeli dengan harga RM50,000 menjadi antara koleksi berharga di sebuah galeri antik di Kampung Serkat, di sini.
Jamal Ahmad, 60, berkata, koleksi dalam tulisan Jawi, Bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil itu dibeli di Kuala Lumpur pada 2016.
Katanya, dia pernah menerima tawaran RM100,000, namun menolaknya.
“Warkah itu merupakan salinan asal yang diedarkan kepada penghulu dan ketua masyarakat untuk memaklumkan kepada penduduk mengenai kemerdekaan Tanah Melayu.
“Saya membeli salinan pertama dengan harga RM2,000 selepas pemiliknya kecewa apabila tiada pihak berminat menjadikannya sebagai bahan pameran,” katanya ketika ditemui di Galeri Antik Astana Wajo di sini.
Menurut Jamal, sebagai bekas guru, bahan tersebut mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan sering dijadikan rujukan apabila tiba sambutan Hari Kebangsaan.
Tambahnya, dia mahu orang ramai khususnya generasi muda, dapat melihat sendiri bahan berkaitan sejarah kemerdekaan yang semakin sukar ditemui.
Selain Proklamasi Kemerdekaan, Jamal turut menyimpan akhbar Malaya Merdeka yang diterbitkan pada 31 Ogos 1957 serta piring yang memaparkan gambar Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Jamal berkata, dia mempunyai 500 koleksi barangan antik termasuk pinggan mangkuk, pakaian, motosikal, kereta, tin minuman dan kotak menyimpan rokok.
“Bagi barangan berkaitan kemerdekaan sahaja, terdapat kira-kira 100 jenis koleksi termasuk gelas, cawan, pinggan, majalah lama dan sampul surat hari pertama,” katanya.
Menurutnya, sebahagian koleksi diperoleh daripada pengumpul bahan lama dan orang terdahulu, selain hasil pencarian di beberapa lokasi termasuk Kepulauan Riau, Indonesia, Singapura dan beberapa negeri di Malaysia.
Jamal berkata, Galeri Antik Astana Wajo diwujudkan bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri koleksi berkenaan dan dibuka secara percuma.
“Galeri ini turut menerima kunjungan pelajar institusi pengajian tinggi, pengkaji budaya dan individu yang berminat dengan barangan antik.
“Saya berharap koleksi ini terus dihargai kerana setiap satunya mempunyai kisah dan nilai sejarah yang mungkin tidak dapat ditemui lagi pada masa akan datang,” katanya.














