Rosmah.

Pendengaran rayuan Rosmah kes rasuah solar mula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah solar akan didengar di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Sebelum ini mahkamah telah menetapkan 16 hari bagi pendengaran rayuan itu yang mana tarikh-tarikh itu ialah 1 hingga 4, 8 hingga 11 dan 21 hingga 30 sepanjang September ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli menetapkan tarikh pendengaran baharu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan Rosmah, 75, untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu yang sepatutnya bermula pada 1 Julai lalu.

Hakim Azhahari ketika membenarkan permohonan itu berkata, walaupun mahkamah bersedia untuk memberikan penangguhan, tiada penangguhan lagi akan diterima sambil menyifatkan perkara itu sebagai kes lama iaitu sejak 2022.

Beliau berkata mahkamah tidak akan berkompromi dengan tarikh perbicaraan yang baharu ditetapkan.

Pada prosiding lalu, peguam Datuk Jagjit Singh mewakili Rosmah ketika berhujah bagi penangguhan pendengaran berkata, dua alasan utama penangguhan ialah semakan untuk menggugurkan Hakim yang mendengar kes solar dan ketiadaan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.

Menurut peguam itu, mengenai semakan menggugurkan Hakim solar, permohonan semakannya untuk menyingkirkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mensabitkannya sebelum ini, perlu diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Sementara bagi isu ketiadaan peguam Akberdin,
Jagjit berkata rakannya itu masih bercuti kerana dalam fasa kesedihan selepas kehilangan anak lelakinya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua bulan lalu.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya K.Mangai memaklumkan pihak pendakwaan membantah permohonan penangguhan pendengaran tersebut.

Pada 1 September 2022, Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Beliau yang kini hakim Mahkamah Rayuan turut memerintahkan agar Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu di Seri Perdana, Putrajaya, Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di sebuah pusat beli belah di Jalan Putra, Kuala Lumpur antara Mac 2016 dan 7 September 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di